Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 November. - Seramai 11 peserta yang terdiri daripada lima qari dan enam qariah telah berjaya melayakkan diri ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi.
Lima qari berkenaan ialah Awang Ahmad Rafiq Azzawani bin Haji Muhammad Zainul Arifin Lubis; Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid; Awang Mohammad Amirul Ariffin bin Haji Noraidi; Awang Abdul Qawiyyel Azeez bin Haji Abd. Rajid dan Pengiran Muhd Amirul Aiman bin Pengiran Haji Marjuki.
Sementara enam peserta akhir qariah terdiri daripada Dayang Irfah Mazidah Lubis binti Haji Muhammad Zainul Arifin Lubis; Dayang Nurhaneyah binti Nordin; Dayang Hajah Fatinah binti Haji Abd. Wahab; Dayang Nur Amal Atiqah @Aida binti Haji Sudirman; Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat dan Dayangku Alya Syahirah binti Pengiran Haji Jofri.
Mereka merupakan peserta yang berjaya mara setelah bertanding dalam Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H / 2027M yang diadakan selama tiga hari berturut-turut mulai Isnin hingga Rabu, 6 hingga 8 Jamadilakhir 1448H bersamaan 16 hingga 18 November 2026M bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan seterusnya menyampaikan hadiah dan cenderamata kepada para peserta dan hakim musabaqah.
Terdahulu, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Aziman bin Awang Haji Zaman yang juga selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penyelanggara Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H / 2027M dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa musabaqah yang diadakan itu merupakan anjuran bersama Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Jabatan Pentadbiran sebagai usaha mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memupuk minat dan kecintaan masyarakat khasnya umat Islam dan golongan belia terhadap Al-Quran.
Melalui musabaqah ini juga, jelasnya, dapat menyemarakkan semangat anak bangsa agar terus menghidupkan generasi Al-Quran dan menggalakkan penglibatan dalam bidang seni bacaan Al-Quran bagi melahirkan qari dan qariah yang berkualiti, berilmu serta berpotensi tinggi sebagai pelapis dan mewakili Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Musabaqah Membaca Al-Quran di peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, musabaqah ini telah berlangsung selama tiga hari mulai 16 hingga 18 November 2026. Seramai 79 peserta qari dan qariah, masing-masing telah memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dengan tartil dan bertarannum.
“Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang telah mempersembahkan bacaan terbaik masing-masing. Seperti tahun-tahun sebelumnya, orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan musabaqah ini secara langsung melalui platform di media sosial iaitu Instagram rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1448H / 2027M semasa menyampaikan pengumuman keputusan musabaqah antara lain merumuskan, hasil dari penilaian dan pengamatan para jemaah hakim bersepakat dapat mengkategorikan peserta seperti berikut iaitu peserta yang dapat meningkatkan perolehan markah di peringkat separuh akhir; peserta yang konsisten dengan perolehan markah di peringkat saringan dan peserta yang perolehan markahnya menurun di peringkat separuh akhir.
Jelasnya lagi, para jemaah hakim secara keseluruhannya kualiti persembahan tilawah peserta pada tahun ini ada peningkatan khususnya peserta qari dan jemaah hakim menyarankan untuk mengambil perhatian dalam perkara-perkara berikut antaranya mencakna hukum tajwid khususnya hukum ‘ghunnah’ kerana didapati peserta kurang cermat dalam menyempurnakan kadar ‘ghunnah’ yang sepaturnya.
Dalam pada itu, para peserta perlu mengelakkan tertambah, terkurang, tersalah baris dan tertinggal kalimah yang mengakibatkan pemotongan markah, apatah lagi merosak makna kalimah.
Pada tahun ini, katanya, peserta dapat meningkatkan ‘tabaqat’ suara dengan baik sepertimana yang telah ditaklimatkan, namun didapati sebahagian peserta mencuri nafas semasa dalam bacaan dan kurang cermat iaitu terhenti dalam persembahan bacaan sudah setentunya pemotongan markah akan berlaku.
Meneruskan momentum dalam membawa tarannum dengan ‘harakat’ dan ‘tabaqat’ yang sempurna dan berhati-hati dalam nada ‘qarar’ khususnya memulakan bacaan ‘basmalah’. Jemaah hakim juga mendapati peserta dalam kalangan qari yang membawakan lima lagu tarannum dari empat lagu yang diperuntukkan dalam masa 10 minit bacaan.
Dari sudut kesalahan teknikal, tambahnya lagi, segelintir peserta didapati masih kurang mahir dalam menyusun ‘maqamat’ tarannum agar selari dengan tempoh bacaan yang diperuntukkan. Mengikut rekod, terdapat seramai 14 peserta yang telah menamatkan bacaan ketika lampu kuning masih menyala.
“Justeru, setiap peserta perlu mahir menyusun susunan lagu serta memanfaatkan sepenuhnya masa yang ditetapkan, sama ada ketika sesi latihan (‘coaching time’) mahupun semasa mempersembahkan bacaan di pentas pertandingan (‘recitation time’),” tegasnya lagi.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Selawat oleh Ameer Al-Huffaz, ITQSHHB dan diikuti dengan persembahan membaca Al-Quran oleh wakil peserta yang terpilih ke Peringkat Akhir Kebangsaan.
Seramai 79 peserta iaitu 61 orang qari dan 18 orang qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang musabaqah tersebut.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmat; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; pengerusi-pengerusi bersama; pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan serta para pegawai kanan KHEU.
Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan merupakan projek tahunan KHEU dan diadakan secara berperingkat-peringkat, iaitu melalui Peringkat Saringan Kebangsaan. Ia merupakan laluan permulaan dan medan untuk para qari dan qariah negara melangkah ke Peringkat Akhir Kebangsaan yang diadakan kemudian.
Penganjuran Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan dihasrat agar dapat memberikan pendedahan dan galakan kepada qari dan qariah negara dalam meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran mereka, di samping membuka minda dan minat masyarakat untuk mendalami serta mempelajari teknik bacaan yang betul, lebih teratur dan sempurna.