Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
MANILA, Khamis, 19 November. - Keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat ASEAN menjadi tumpuan Perhimpunan Agung ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) Ke-47 yang berlangsung di Makati Shangri-La, Manila, Republik Filipina dari 16 hingga 22 November 2026.
Dengan bertemakan ‘Parliaments Securing a Peaceful, Prosperous and People-Centred ASEAN’, perhimpunan tahunan ini telah menghimpunkan delegasi Parlimen Ahli AIPA, Parlimen Pemerhati dan rakan-rakan pembangunan AIPA bagi memperkukuh kerjasama serantau.
Delegasi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib bersama Ahli-ahli MMN.
Delegasi turut disertai oleh Jurutulis MMN serta pegawai-pegawai urus setia.
Sempena perhimpunan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan mengurniakan Titah Perutusan.
Dalam titah tersebut, baginda menekankan kepentingan perpaduan serta peranan utama ASEAN dalam memelihara keamanan dan kestabilan serantau melalui dialog, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menggariskan kepentingan ASEAN Community Vision 2045 sebagai hala tuju ke arah sebuah rantau yang berdaya tahan, inovatif dan berpaksikan rakyat. Penekanan diberikan kepada pembangunan yang inklusif dan mampan, keselamatan makanan, daya tahan tenaga serta perubahan iklim.
Selain itu, baginda menegaskan peranan parlimen dalam menterjemahkan aspirasi serantau kepada hasil yang bermakna di peringkat kebangsaan. Baginda juga menyeru agar kerjasama ASEAN-AIPA diperkukuh, khususnya melalui ASEAN-AIPA Leaders' Interface, selaras dengan komitmen Negara Brunei Darussalam terhadap keamanan, persahabatan dan kerjasama antarabangsa.
Perhimpunan Agung AIPA Ke-47 telah dirasmikan pada 18 November 2026 oleh Yang Di-Pertua Dewan Perwakilan Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Faustino "Bojie" G. Dy III, selaku Presiden AIPA.
Ucapan turut disampaikan oleh Presiden Senat Republik Filipina, Tuan Yang Terutama Sherwin T. Gatchalian dan Setiausaha Agung AIPA, Tuan Yang Terutama Dr. Chem Widhya.
Majlis Pembukaan Rasmi tersebut antara lain memberi tumpuan kepada cabaran ekonomi dan perkembangan teknologi digital, termasuk keselamatan siber serta perlindungan dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI).
Kerjasama antara parlimen turut diberi penekanan bagi memperkukuh perlindungan pengguna, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat, serta meningkatkan penyertaan wanita dan golongan muda dalam pembangunan serantau.
Sidang Plenari Pertama menyaksikan penerimaan Parlimen Kebangsaan Republik Demokratik Timor-Leste sebagai Parlimen Ahli AIPA Ke-11, sekali gus melengkapkan keanggotaan AIPA dengan penyertaan parlimen daripada kesemua 11 negara anggota ASEAN.
Dalam Kenyataan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menekankan kepentingan perpaduan serta peranan utama ASEAN dalam pelaksanaan ASEAN Community Vision 2045.
Yang Berhormat turut menegaskan tanggungjawab parlimen dalam menterjemahkan aspirasi rakyat dan serantau kepada tindakan di peringkat kebangsaan.
Yang Di-Pertua MMN menggariskan bahawa kemakmuran serantau merangkumi kesejahteraan rakyat, keterangkuman sosial dan pembangunan mampan. Selain itu, ia turut merangkumi pertumbuhan ekonomi serta usaha menangani keselamatan makanan dan tenaga, kelestarian alam sekitar dan perubahan iklim.
Seterusnya, Yang Di-Pertua MMN menekankan kepentingan diplomasi antara parlimen dalam membina kepercayaan dan persefahaman, di samping menegaskan komitmen negara terhadap keamanan, persahabatan, kerjasama, multilateralisme dan undang-undang antarabangsa.
Menjelang Majlis Pembukaan Rasmi, beberapa mesyuarat dan forum telah berlangsung pada 17 November 2026 dengan penyertaan delegasi MMN.
Antaranya termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AIPA, Sesi Perbincangan Komiti Ahli Parlimen Muda AIPA (YPA) dan Forum Pemimpin Politik Wanita AIPA (WAIPA). Tumpuan perbincangan merangkumi cadangan keanggotaan Timor-Leste, kerjasama serantau, perubahan iklim serta peranan ahli parlimen wanita dan belia.
Perhimpunan Agung AIPA Ke-47 diteruskan dengan mesyuarat-mesyuarat komiti bagi membincangkan cadangan resolusi dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan organisasi.
Sesi Dialog bersama Parlimen Pemerhati AIPA turut diadakan.