Aktiviti perekonomian di kawasan Pantai Jerudong terus diperkembangkan

9 Og 2026 - 9:44am

Oleh : Muhammad Aiman Najib HamzahFoto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 8 Ogos. - Aktiviti perekonomian di kawasan Pantai Jerudong terus diperkembangkan melalui kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Jerudong ‘B’.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, beberapa aktiviti keusahawanan telah diungkayahkan termasuk kerja-kerja pemeliharaan infrastruktur di kawasan berkenaan seperti tandas, surau, jalan raya, termasuk penyediaan tempat perahu berlabuh yang diungkayahkan sendiri oleh MPMK Jerudong ‘B’ dengan mengenakan sewa yang berpatutan.

Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam.

“Alhamdulillah, setakat ini pelbagai kegiatan telah dilaksanakan termasuk pengoperasian gerai oleh peniaga-peniaga tempatan, Pesta Makan Tahun Pantai Siandang Kampung Jerudong yang telah menghimpunkan kumpulan-kumpulan kebudayaan serta persatuan Puak Kedayan dari Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dan penyediaan gelanggang gasing.

“Usaha seumpama inilah yang sepatutnya dilaksanakan oleh setiap MPMK. Pendekatan ini merupakan antara contoh pelaksanaan Whole of Government dan Whole of Nation di mana agensi kerajaan, pemimpin akar umbi dan masyarakat bekerjasama menghidupkan ruang awam serta menjana peluang ekonomi setempat,” jelas Yang Berhormat pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Dalam hubungan ini tambah Yang Berhormat, kawasan Pantai Jerudong juga dilihat mempunyai potensi untuk dibangunkan secara lebih bersepadu sebagai salah satu destinasi tarikan tempatan.

Kongsi Yang Berhormat, antara inisiatif yang telah diperkenalkan ialah pakej memperkenalkan lawatan cara dengan pembuatan makanan tradisi puak Kedayan termasuk sesi taklimat, demonstrasi dan lawatan ke mini muzium.

Pendekatan ini mengetengahkan bukan warisan sahaja budaya setempat tetapi turut membuka peluang pendapatan kepada pengusaha tempatan, memperkukuh produk 1K1P dan menambah nilai kepada pengalaman pelawat.

Bagi menyokong pembangunan kawasan ini, Yang Berhormat berkata usaha penambahbaikan kemudahan dan prasarana juga akan terus diberikan perhatian termasuk penyediaan meja, kerusi, ruang yang lebih selesa untuk kegunaan pengunjung. Walau bagaimanapun, penyediaan infrastruktur perlu disertakan dengan tanggungjawab bersama.

Sehubungan itu, Yang Berhormat menyeru orang ramai untuk menjaga kebersihan, keselamatan dan kemudahan yang disediakan supaya dapat digunakan secara berterusan dalam jangka masa panjang. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan terus menyokong pelaksanaan aktiviti memperkukuh yang ekonomi dapat tempatan, mengaktifkan ruang awam dan menyumbang kepada persediaan Tahun Melawat Brunei 2027.

“Dalam hubungan ini, perbincangan antara Jabatan Daerah Brunei Muara dan Jabatan Kemajuan Pelancongan telah pun dimulakan bagi mengenal pasti peluang kerjasama dalam menyelaras perancangan yang bersesuaian supaya pembangunan Pantai Jerudong dapat dilaksanakan secara lebih teratur, mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” jelas Yang Berhormat.