Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri
REPUBLIK SINGAPURA, Isnin, 2 November. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, baru-baru ini telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN Ke-48 (48th ASEAN Ministers on Agriculture and Forestry-AMAF Ke-48) yang berlangsung di Republik Singapura pada Khamis, 29 Oktober 2026.
Mesyuarat AMAF Ke-48 berkenaan dipengerusikan oleh Minister of Sustainability and the Environment of Singapore, Her Excellency Grace Fu Hai Yien.
Dalam mesyuarat berkenaan, termasuk Mesyuarat AMAF Plus Three Ke-26 serta Sidang Kemuncak Agri-Makanan (Asia Pasifik Asia-pacific Agri-Food Summit), NBD menegaskan semula komitmennya terhadap keterjaminan makanan serantau, daya tahan serta pembangunan sektor pertanian yang mampan.
Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, NBD turut mengetengahkan hala tuju strategik NBD ke arah menjadi negara pengeksport bersih produk agri-makanan dan akuakultur melalui penerapan teknologi pertanian moden serta pengukuhan kerjasama perdagangan bagi memastikan sektor berkenaan lebih mampan, inklusif dan terjamin.
Mesyuarat AMAF Ke-48 telah menerima pakai Kenyataan AMAF dan Pelan Pelaksanaan bagi Pertanian Regeneratif dan Berdaya Tahan, yang bertujuan memulihkan kesihatan tanah, mengurangkan pelepasan karbon serta memperluas amalan pertanian pintar iklim.
Usaha berkenaan turut diperkukuh melalui kerjasama dengan badan-badan antarabangsa, termasuk Asian Development Bank (ADB), US-ASEAN Business Council (USABC) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).
NBD menyokong sepenuhnya peralihan berkenaan dengan memberikan komitmen untuk menyumbang sebanyak 50,000 batang pokok kepada Inisiatif Penanaman Satu Bilion Pokok ASEAN (ASEAN's One Billion Trees Growing Initiative), sebagai sebahagian daripada sasaran negara untuk menanam sebanyak 500,000 batang pokok menjelang 2035.
Di samping itu, NBD turut menegaskan semula komitmennya terhadap Ekonomi Biru melalui kerangka Resolution and Plan of Action on Sustainable Fisheries for Food Security for the ASEAN Region Towards 2030 (RES&POA-2030), termasuk memperkukuh langkah-langkah biosekuriti dan sistem kebolehkesanan bagi pengusaha kecil.
Dari aspek hubungan dua hala, Yang Berhormat mengiktiraf kerjasama erat yang telah sekian lama terjalin antara NBD dan Republik Singapura, termasuk usaha memajukan Joint Agri-Tech Food Zone serta memanfaatkan Memorandum Persefahaman (MoU) terkini mengenai Daya Tahan Rantaian Bekalan bagi memastikan kelancaran aliran barangan di bawah ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA) yang telah dipertingkatkan.
Perbincangan di peringkat menteri turut memperkukuh perpaduan antara ASEAN dengan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
Mesyuarat AMAF Plus Three Ke-26 memberi keutamaan kepada kesiapsiagaan menghadapi kecemasan, inovasi digital serta penerapan teknologi secara lebih meluas.
Para menteri turut memuji peranan ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR) yang telah mengagihkan sebanyak 15,405 tan metrik beras kecemasan kepada dua juta penduduk di seluruh Negara-negara Anggota ASEAN (AMS).
Di luar rangkaian mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat turut menyertai Asia- Pacific Agri-Food Summit 2026 sebagai penceramah peringkat tinggi. Sidang kemuncak berkenaan diadakan bersempena dengan Singapore International Agri-Food Week (SIAW).
Yang Berhormat dalam ucapannya, menekankan peningkatan tekanan ekonomi, geopolitik dan perubahan iklim yang menjejaskan sistem makanan, serta keperluan bagi NBD untuk memanfaatkan peluang serantau melalui pengukuhan pengeluaran domestik dan keterhubungan perdagangan.
Seterusnya Yang Berhormat turut menegaskan bahawa daya tahan keterjaminan makanan yang berpanjangan memerlukan tindakan secara kolektif, kerjasama yang lebih kukuh, perdagangan yang boleh dipercayai serta pelaburan berterusan dalam pengeluaran domestik bagi menjadikan cabaran bersama sebagai kekuatan serantau dalam jangka panjang.