Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, malam tadi berkenan berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tariq, Sultan Oman, serta rombongan yang mengadakan Keberangkatan Negara selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam (NBD).
Turut berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tariq ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri selaku Kerabat Pengiring.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah His Highness Sayyid Shihab bin Tariq Al Said, Deputy Prime Minister for Defence Affairs.
Turut hadir bagi mengalu-alukan ketibaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin, dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Hajah Noralizan binti Abdul Momin.
Ini merupakan Keberangkatan Negara pertama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ke NBD setelah menaiki takhta sebagai Sultan Oman pada tahun 2020.