ASEAN, Jepun jalin hubungan kerjasama berteraskan kepercayaan bersama

18 Nov 2026 - 9:57am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 17 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun Ke-29.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Semasa Sidang Kemuncak tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan bahawa ASEAN dan Jepun telah menjalin hubungan kerjasama yang berteraskan kepercayaan bersama dan hubungan 'dari hati ke hati' sesama rakyat selama melebihi lima dekad.

Baginda dalam titah seterusnya menekankan bahawa hubungan erat ini berupaya membawa hasil yang praktikal dalam memperkukuh sekuriti makanan, sambil menyatakan bahawa gangguan bekalan boleh mencetuskan lonjakan harga secara mendadak serta memberikan masa yang terhad kepada kerajaan untuk mengambil tindakan.

Bagi mengelakkan ancaman terhadap sektor pertanian daripada meruncing menjadi krisis yang lebih serius, baginda bertitah menyeru agar risiko-risiko dikenal pasti pada peringkat awal dengan memanfaatkan teknologi satelit dan kepakaran Jepun dalam pemantauan tanaman.

Baginda menekankan bahawa pengintegrasian data berkenaan ke dalam rangka kerja serantau yang sedia ada akan membolehkan tindak balas yang lebih terselaras serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan serantau secara menyeluruh.

Akhir sekali, baginda bertitah menekankan keperluan untuk meningkatkan pengeluaran makanan domestik dengan membantu para petani meningkatkan hasil pertanian serta membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya gangguan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengetengahkan Pelan Kerjasama Midori ASEAN-Jepun sebagai salah satu mekanisme penting dalam menyediakan teknologi digital yang mampu milik dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta latihan praktikal yang boleh disesuaikan dengan keperluan setempat.

Sehubungan itu, baginda bertitah menggesa menteri-menteri yang berkaitan untuk membawa cadangan-cadangan tersebut ke hadapan melalui mekanisme sekuriti makanan yang sedia ada, demi melindungi mata pencarian rakyat serta memastikan bekalan makanan terus mudah diperoleh pada harga yang berpatutan untuk semua.