Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 Oktober. - Bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sempena Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah Masjid Omar 'Ali Saifuddien menganjurkan Majlis Membaca Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di Masjid Omar 'Ali Saifuddien itu ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin.
Turut hadir, Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah, Beliawanis Syababus Salam serta jemaah muslimah dari beberapa buah masjid terpilih.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan diserikan dengan tazkirah oleh Pegawai Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Pengisian rohani diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas dan Doa Kesyukuran dan diakhiri dengan nyanyian Lagu Kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda kesyukuran serta wadah untuk merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan perlindungan-Nya.
Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menzahirkan kesyukuran dan memohon keberkatan bagi kesejahteraan baginda, malah turut memperkukuh ukhuwah Islamiah dalam kalangan Muslimah serta jemaah masjid.
Di samping itu, majlis mencerminkan komitmen berterusan Ahli Jawatankuasa Takmir Muslimah dalam mengimarahkan masjid melalui aktiviti keagamaan yang menyemai nilai kerohanian, memupuk perpaduan dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Majlis diakhiri dengan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha sentiasa berada dalam rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan serta menikmati kesejahteraan dan kebahagiaan dalam keberkatan dan keredaan-Nya.