Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 September. - Bank Baiduri dinamakan sebagai Bank Terbaik di Brunei oleh Euromoney, sekali gus menandakan kali keempat bank berkenaan menerima pengiktirafan tersebut.
Anugerah itu mengiktiraf prestasi kewangan Bank Baiduri yang kukuh, pelaksanaan strategi yang berdisiplin, pelaburan berterusan dalam transformasi digital serta peranan bank yang semakin berkembang dalam menyokong pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD).
Anugerah tersebut disampaikan pada Majlis Makan Malam Euromoney Awards for Excellence yang diadakan di Raffles Hotel, Singapura, baru-baru ini.
Mewakili Bank Baiduri pada majlis berkenaan ialah Ketua Perbankan Korporat dan Pembiayaan Perdagangan, Leonard Lee; Ketua Perbankan Institusi, Awangku Nor Muhammad Nizam Pengiran Haji Tengah; dan Pengurus Besar Baiduri Finance, Jonathan Lim.
Menurut Euromoney, prestasi Bank Baiduri pada 2025 dicirikan oleh pengembangan kunci kira-kira, peningkatan kualiti aset serta pelaburan berterusan dalam segmen perbankan runcit, korporat dan institusi.
Penerbitan berkenaan turut menonjolkan keuntungan bersih rekod bank sebanyak BND97.2 juta dan pulangan atas ekuiti sebanyak 13.87 peratus, dengan kedua-duanya dicapai sambil mengekalkan permodalan yang kukuh serta pengurusan risiko yang berhemat.
Anugerah tersebut turut mengiktiraf keupayaan bank untuk mengembangkan portfolio pinjamannya sambil mengekalkan kualiti kredit, mencerminkan konsistensi dalam proses penilaian kredit dan pengurusan portfolio.
Euromoney turut menyentuh kemajuan Bank Baiduri dalam transformasi organisasi, termasuk usaha berterusan untuk beralih kepada platform perbankan teras berasaskan awan (cloud-core based banking) serta inisiatif automasi dalam proses kredit dan operasi.
Pelaburan tersebut telah meningkatkan kecekapan dan skalabiliti, di samping mempertingkat pengalaman pelanggan menerusi saluran perbankan runcit dan korporat.
Penerbitan berkenaan turut menekankan sokongan berterusan bank terhadap aktiviti ekonomi domestik, termasuk penyertaan dalam projek infrastruktur tenaga boleh diperbaharui serta pengembangan keupayaan Perbankan Institusi.
Penubuhan Pejabat Perwakilan Bank Baiduri di Singapura turut diketengahkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh hubungan serantau serta memudahkan akses yang lebih luas kepada pembiayaan rentas sempadan, kerjasama strategik dan aliran transaksi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Pengiktirafan ini amat bermakna kerana ia mencerminkan kemajuan yang dicapai dalam pelbagai bahagian bank. Ia bukan hasil daripada satu inisiatif sahaja, sebaliknya merupakan hasil pelaburan selama bertahun-tahun dalam aspek tenaga kerja, teknologi, keupayaan serta pendekatan kami dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami memberi tumpuan kepada usaha membina sebuah organisasi yang lebih kukuh dan berkeupayaan untuk berkembang, sambil terus memenuhi keperluan individu, perniagaan dan institusi yang sentiasa berubah. Usaha-usaha tersebut diiktiraf oleh penerbitan antarabangsa seperti Euromoney merupakan sesuatu yang amat menggalakkan dan menjadi pengesahan kukuh terhadap hala tuju yang telah kami pilih”.
Euromoney Awards for Excellence merupakan antara program anugerah yang paling lama dianjurkan dan paling dihormati dalam industri perbankan. Program tersebut mengiktiraf institusi kewangan yang menunjukkan kepimpinan, inovasi dan prestasi perniagaan yang kukuh dalam pasaran masing-masing.
Untuk maklumat lanjut mengenai Bank Baiduri , layari laman sesawang rasmi ‘www.baiduri.com’ atau mengikuti saluran media sosial rasmi Bank Baiduri.