leh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 11 Ogos. - Keperluan pengukuhan rakyat, ekosistem perniagaan PMKS serta penyampaian bantuan kebajikan yang lebih adil, bersasar dan telus. Kedua-dua perkara ini berkait rapat dengan sasaran Wawasan Brunei 2035 dalam menjamin kualiti kehidupan yang tinggi serta membina ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
PMKS perlu dilihat bukan sekadar sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai pemain utama dalam rantaian ekonomi negara. Oleh itu, akses kepada kontrak pembiayaan, pasaran, pendigitalan, teknologi dan latihan perlu terus diperluaskan agar PMKS dapat berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat tempatan.
Bukan itu sahaja, bantuan kebajikan hendaklah disampaikan secara tepat sasaran, adil, telus dan berkesan. Pada masa yang sama, penerima perlu diberikan peluang meningkatkan kemahiran, mendapatkan pekerjaan dan menceburi keusahawanan supaya bantuan bukan sahaja meringankan beban, tetapi membantu mereka berdikari dalam jangka panjang. Ini akan membawa kepada kehidupan rakyat yang lebih baik, ekonomi yang lebih kukuh dan masa depan yang lebih terjamin.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat, menekankan perkara itu dalam perbahasan usul pada hari keenam Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang bersidang di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menyentuh isu sosial, remaja dan belia. Yang Berhormat Ahli MMN seterusnya berpandangan, cabaran seperti penyalahgunaan dadah, buli, kesihatan mental, pengaruh media sosial dan masalah disiplin tegasnya, perlu ditangani secara Whole-of-Nation, melibatkan warga sekolah, kerajaan dan masyarakat.
Bahkan, usaha pencegahan melalui pengukuhan jati diri, nilai MIB, daya tahan mental, kemahiran hidup dan peluang positif tambahnya, perlu diperkasakan bagi melahirkan generasi berakhlak, berdaya tahan dan menjadi penyumbang kepada Wawasan Brunei 2035.
Oleh itu, Yang Berhormat berharap agar satu lonjakan yang lebih besar dan ketara dapat dilihat dalam usaha mempercepatkan pencapaian Wawasan Brunei 2035. Jelas Yang Berhormat, langkah ini penting bagi memperkukuhkan penyelarasan antara kementerian serta memastikan setiap strategi pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, bersepadu dan berkesan, yang lebih penting, keberkesanannya.
Dengan langkah ini, ia ujarnya, diharap dapat memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kewibawaan pentadbiran kerajaan, khususnya dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan strategi kemajuan serta pembangunan negara secara lebih jelas dan berfokus.
Terdahulu, Yang Berhormat merafakkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan dan pimpinan baginda yang berterusan dalam memandu negara menuju masa depan yang lebih maju, sejahtera dan berdaya tahan.
“Sepanjang Musim Permesyuaratan Ke-22 ini, berbagai perkara telah dibincangkan, dipersoalkan dan telah diajukan, pandangan telah dikongsikan dan cadangan telah diketengahkan. Kaola percaya, segala perbahasan yang berlangsung bukan semata-mata untuk mencari siapa yang benar atau siapa yang salah.
“Sebaliknya, ini adalah sebahagian daripada proses untuk mencari jalan yang lebih baik, penyelesaian yang lebih berkesan dan pendekatan yang lebih tepat demi kepentingan rakyat dan negara,” kata Yang Berhormat lagi.
Selain daripada itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai penggubalan Kod Etika dan Tatakelakuan yang telah dibahaskan di dewan berkenaan. Menurut Yang Berhormat, perkara ini merupakan satu usaha yang wajar diperkukuhkan kerana Kod Etika dan Tatakelakuan bukan sekadar satu dokumen atau peraturan, tetapi merupakan satu panduan yang jelas dalam memastikan setiap Ahli Yang Berhormat melaksanakan amanah, tanggungjawab dan peranan mereka dengan penuh integriti, profesionalisme serta rasa tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Malah, pada pandangan Yang Behormat, prinsip-prinsip Kod Etika dan Tatakelakuan ini bukan sahaja relevan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, tapi juga membawa nilai yang lebih luas kepada mana-mana pihak yang diberikan amanah dan tanggungjawab besar dalam membawa suara rakyat serta melaksanakan tugas demi kepentingan negara. Yang Berhormat juga berpandangan bahawa keputusan untuk pindaan Kod Etika dan Tatakelakuan bagi memberi ruang untuk memperhalusi isi kandungannya merupakan satu langkah yang baik dan berpandangan jauh.