BDCB lancar pelan hala tuju sektor kewangan 2026-2035

30 Sep 2026 - 8:01am

Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) hari ini melancarkan Brunei Darussalam Financial Sector Blueprint (FSBP) 2026-2035, iaitu pelan hala tuju kedua yang menggariskan arah strategik bagi pembangunan sektor kewangan Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk tempoh satu dekad akan datang.

FSBP 2026-2035 akan menyediakan rangka kerja strategik yang komprehensif bagi menyelaraskan keutamaan BDCB dengan industri kewangan, pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta, serta pihak antarabangsa.

Berteraskan prinsip utama untuk mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan, FSBP memberi tumpuan kepada tiga teras strategik berikut, Teras Strategik 1: Sektor kewangan yang progresif dan inovatif; Teras Strategik 2: Kemampanan melalui kewangan; dan Teras Strategik 3: Infrastruktur kewangan moden dan dipacu teknologi.

Pelancarannya berlangsung di Dewan Serambi Suluh, Tarindak d'Seni, Bandar Seri Begawan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya merasmikan  FSBP 2026-2035 ialah  Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah BDCB.

Juga hadir, Pengarah Urusan, BDCB, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Sabtu; Ahli-ahli Lembaga Pengarah BDCB dan Lembaga Penyeliaan Kewangan Syariah; pegawai-pegawai kanan serta wakil dari kerajaan, BDCB dan industri kewangan.

Dayang Hajah Rashidah dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa FSBP 2026-2035 dibangunkan berasaskan aspirasi bersama sektor kewangan yang kukuh serta kemajuan signifikan yang telah dicapai setakat ini.

Beliau turut menggariskan bahawa pembangunan sektor kewangan merupakan satu perjalanan yang memerlukan usaha berterusan untuk kekal berdaya saing, responsif terhadap perkembangan baharu dan selaras dengan keutamaan negara.

Acara diteruskan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, yang antara lain menekankan bahawa dengan berlandaskan pencapaian FSBP yang pertama, pelancaran FSBP 2026-2035 menandakan langkah strategik ke arah membangunkan sektor kewangan yang berdaya tahan, inklusif dan inovatif bagi dekad seterusnya.

Yang Berhormat turut menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan pelan hala tuju ini memerlukan usaha bersama daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat secara keseluruhannya, sekali gus menyumbang ke arah masa depan yang lebih makmur bagi NBD.

Program pelancaran turut menampilkan Sesi Dialog Khas bertemakan 'ASEAN in a Shifting Global Economy: What It Means for Brunei Darussalam's Growth and Financial Future'.

Sesi dialog tersebut dikendalikan oleh Pengarah Urusan, Confer Sdn. Bhd., Allen Lai, dengan  Timbalan Pengarah Urusan (Operasi Monetari, Perkembangan dan Antarabangsa), BDCB, Awang Mardini bin Haji Eddie; Deputy Secretary General, Islamic Financial Services Board (IFSB), Abdullah Haron; dan Pegawai Kanan, Finance Integration Division, ASEAN Secretariat, Renz Calub.

Sesi tersebut membincangkan perkembangan landskap ekonomi global dan serantau serta implikasinya terhadap pertumbuhan dan masa depan sektor kewangan di NBD.

Program kemudiannya diteruskan dengan Sesi Panel bertemakan 'Future-Proofing Brunei's Financial Sector: Building Resilience, Innovation and Sustainable Growth', yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif, BDCB, Dk. Sri Joedianna binti Pg. Haji Mohammed.

Ahli panel terdiri daripada Pemangku Pengarah Perancangan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Dayangku Norhanidah binti Pengiran Haji Mashor; Pengerusi, APEC Business Advisory Council Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif, Standard Chartered Brunei, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Takaful Brunei, Awang Haji Shahrildin bin POKLU DP Haji Jaya; Pengarah Urusan, BIBD Securities, Jason Wong; dan  General Manager, National Insurance Bhd., Klaus Tomalla.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas kepercayaan dan kedayatahanan sektor kewangan NBD, di samping meningkatkan peranannya sebagai pemangkin kepada pelaburan, inovasi, keusahawanan dan kepelbagaian ekonomi.

Untuk maklumat lanjut mengenai FSBP, sila layari laman sesawang BDCB di www.bdcb.gov.bn atau ikuti BDCB di Instagram di @centralbank.brunei.