Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Majlis Kesyukuran iaitu Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, Membaca Surah Yaa Siin serta Membaca Doa Khas sempena Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di setiap daerah, hari ini.
Masjid tumpuan bagi Daerah Brunei dan Muara adalah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Ke-33, Tahun 2026.
Turut hadir, Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Ke-33, Tahun 2026.
Majlis didahului dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, dan seterusnya bacaan Surah Yaa Siin beramai-ramai.
Manakala bacaan Doa Khas Hari Perkhidmatan Awam pula dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.
Juga hadir menyertai majlis tersebut ialah Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam.
Hari Kemuncak Sambutan HPA Kali Ke-33 dijadualkan akan diadakan pada 18 Jamadilawal 1448 Hijrah bersamaan 29 Oktober 2026 Masihi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.