Siaran Akhbar dan Infografik : Brunei Darussalam Central Bank
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 13 Julai. - Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah menerbitkan Indeks Sentimen Perniagaan ataupun Business Sentiment Index (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi Mei 2026. Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik bulanan yang melibatkan kira-kira 500 perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana, dan besar daripada 11 sektor ekonomi di seluruh negara.
BSI bertujuan untuk mengukur tahap sentimen/keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam yang merangkumi pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja, dan kos menjalankan perniagaan. Memandangkan BSI menggunakan pendekatan berpandangan ke hadapan, indeks ini boleh digunakan sebagai salah satu penunjuk awal keadaan makroekonomi negara.
Sejak pelancarannya pada Ogos 2020, BDCB telah menyemak metodologi BSI bagi meningkatkan keteguhan, konsistensi dan nilai analisis indeks. Walaupun skala BSI adalah 0 hingga 100 di bawah metodologi sebelumnya, formula pengiraan yang digunakan hanya menghasilkan nilai indeks antara 49.0 dan 51.0. Di samping itu, daripada menetapkan tahap 50.0 sebagai neutral, nilai antara 45.0 hingga 55.0 kini ditakrifkan sebagai neutral. Perubahan ini seterusnya meningkatkan sensitiviti indeks, sekali gus membolehkan tafsiran yang lebih jelas dan tepat terhadap pergerakan indeks.
Pengemaskinian ini tidak menjejaskan penilaian ekonomi bagi hasil terdahulu, memandangkan sentimen asas yang diukur oleh indeks tersebut kekal tidak berubah. Bagi memastikan konsistensi dan kebolehbandingan, data BSI terdahulu telah dikira semula menggunakan metodologi baharu dan diterbitkan dalam Buletin Statistik yang terdapat di laman sesawang BDCB.
Keterangan indeks ialah apabila nilai BSI atas 50 iaitu mencerminkan keadaan yang lebih baik/sentimen lebih optimistik berbanding dengan bulan sebelumnya. Manakala bagi nilai 45 - 55 dalam BSI, ia merujuk kepada keadaan lebih kurang sama berbanding dengan bulan sebelumnya dan nilai bawah 50 dalam BSI, nilai tersebut merujuk kepada keadaan yang merosot dan sentimen lebih pesimistik berbanding dengan sebelumnya.
Indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan, berada pada tahap 41.5 pada Mei 2026, penurunan daripada 63.3 pada April 2026. Sentimen pesimistik ini sebahagian besarnya mencerminkan pengurangan permintaan pengguna berikutan berakhirnya musim perayaan, dan pengurangan projek baharu. Perniagaan turut melaporkan beberapa cabaran khusus mengikut sektor, termasuk perbelanjaan pengguna yang beralih kepada pesta makanan, peningkatan persaingan daripada barangan import, gangguan geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dan kos input di sektor tenaga, dan peningkatan perbelanjaan rentas sempadan.
Walau bagaimanapun, sebahagian perniagaan berpandangan optimistik, disokong oleh pemulihan aktiviti selepas musim perayaan, projek dan kontrak baharu, jangkaan peningkatan permintaan sempena Hari Raya Aidiladha, cuti persekolahan, dan penganjuran pesta makanan. Bagi tempoh akan datang, indeks satu bulan ke hadapan meningkat kepada 64.4, menunjukkan jangkaan keadaan perniagaan akan bertambah baik pada Jun 2026 berbanding Mei 2026. Ini disokong oleh peningkatan pengeluaran, penyelesaian kerja-kerja penyelenggaraan dan peningkatan jumlah pesanan, pelancaran produk baharu, serta pengembangan saluran pasaran.
Sub-indeks Pelaburan kekal dalam kategori optimistik, dengan indeks semasa pada tahap 75.5, indeks satu bulan ke hadapan pada tahap 77.6, dan indeks tiga bulan ke hadapan pada tahap 76.8. Perniagaan melaporkan rancangan untuk meningkatkan pelaburan khususnya bagi pembelian mesin, pengembangan perniagaan, dan kerja-kerja pengubahsuaian. Dalam beberapa bulan akan datang, aktiviti pelaburan dijangka kekal kukuh disokong oleh projek-projek baharu serta jangkaan peningkatan aktiviti perniagaan hasil permintaan bermusim dan pelbagai aktiviti promosi. Secara keseluruhan, prospek pelaburan menunjukkan bahawa perniagaan terus mengutamakan perbelanjaan modal meskipun keadaan perniagaan dijangka sederhana.
Sub-indeks Pekerjaan mencatatkan nilai 61.8 bagi bulan semasa, menunjukkan sentimen yang optimistik terhadap pengambilan pekerja serta pemulihan daripada sentimen pesimistik yang direkodkan pada bulan-bulan sebelumnya. Beberapa perniagaan melaporkan pengambilan pekerja baharu adalah untuk menyokong projek dan aktiviti yang akan dilaksanakan, manakala sesetengah pula mengongsikan hasrat untuk mengganti kakitangan yang telah letak jawatan atau tamat kontrak. Sementara itu, sub-indeks bagi satu bulan ke hadapan menurun kepada 52.4. Ini mencerminkan jangkaan keadaan stabil bagi pengambilan pekerja pada Jun 2026, dengan kebanyakan perniagaan merancang untuk mengekalkan tahap tenaga kerja sedia ada dan hanya mengambil pekerja baharu untuk mengganti pekerja.
Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 69.8 bagi bulan semasa, menunjukkan pandangan perniagaan bahawa tahap kos akan kekal tinggi. Peningkatan ini didorong oleh kenaikan harga bahan mentah, kos penghantaran, kos tenaga kerja, dan perbelanjaan operasi yang lain. Sementara itu, sub-indeks bagi satu bulan ke hadapan berada pada tahap 41.6, menunjukkan bahawa kos operasi dijangka berkurangan dalam tempoh terdekat. Menurut hasil kaji selidik, walaupun kebanyakan perniagaan berasa kos akan kekal sama, sebahagian lain menjangka penurunan kos pengangkutan dan harga bahan mentah. Namun, sebilangan kecil perniagaan masih menjangka peningkatan kos berikutan pelaksanaan projek dan aktiviti operasi.
Keterangan mengenai keadaan perniagaan seperti dalam gambar rajah 1.
Sementara itu, maklumat mengenai indeks dari segi sektor ekonomi seperti dalam rajah 2.
Manakala indeks dari segi saiz perniagaan dapat dilihat dalam rajah 3.
Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman sesawang BDCB di ‘www.bdcb.gov.bn’. Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan BSI melalui siaran akhbar yang akan datang dan akaun Instagram BDCB ‘@centralbank.brunei’.