Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
Foto : Mohammad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Na'il Haris bin Haji Muhd. Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, di ibu negara, di sini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin.
Sejurus keberangkatan tiba, Kebawah DYMM berkenan menerima Tabik Hormat Diraja diiringi Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Kebawah DYMM seterusnya berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan barisan kehormatan yang melibatkan seramai 1,142 anggota yang terdiri dari Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), PPDB dan pertubuhan-pertubuhan awam beruniform, di bawah kawalan Leftenan Kolonel Mohammad Sufrien bin Johan.
Acara diteruskan dengan pasukan-pasukan kawalan kehormatan dan pembawa Panji-Panji Kebawah DYMM, Panji-Panji Pasukan ABDB dan Panji-panji Diraja PPDB berjalan lalu di depan Pentas Diraja dalam gerak perlahan dan cepat sebelum beratur semula yang diikuti laungan tiga kali 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik'.
Pasukan-pasukan perbarisan kemudian mara ke hadapan untuk diperhati semula, Tabik Hormat Diraja dan diikuti terbang lalu pesawat-pesawat ABDB.
Turut hadir ialah tetamu-tetamu peribadi Kebawah DYMM, antaranya Menteri Kanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Hsien Loong, selaku wakil Kerajaan Republik Singapura, dan isteri, Datin Paduka Seri Laila Jasa Madam Ho Ching.
Juga berangkat dan hadir ke istiadat berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-pengiran Peranakan, Pehin-pehin Manteri, dan Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan, termasuk tetamu-tetamu khas baginda daripada kalangan negara jiran dan sahabat.