Oleh : Marlinawaty Hussin
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Kemuncak Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-33, Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA Kali Ke-33, Tahun 2026.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Anbiya’ ayat 72 hingga 75 yang dibacakan oleh Johan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2025, Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili.
Sementara kesimpulan ayat pula dibacakan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi.
Majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam).
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kemudian berkenan mengurniakan titah.
Seterusnya, majlis diserikan dengan Ceramah Khas Perkhidmatan Awam bertajuk ‘Perkhidmatan Awam Yang Transformatif: Menjulang Kepimpinan dan Kedaulatan Raja’ disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor dan Dekan, Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili.
Dalam ceramah tersebut, beliau antara lain menekankan, transformasi Perkhidmatan Awam bukan sekadar perubahan sistem dan teknologi, malah perlu disertai dengan pengukuhan nilai amanah, integriti, kompetensi dan akhlak dalam kalangan penjawat awam.
Turut diketengahkan ialah kepentingan kepimpinan yang berteraskan kepercayaan, tanggungjawab dan keteladanan, serta budaya kerja yang mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.
Penghayatan nilai-nilai tersebut menjadi asas dalam membentuk Perkhidmatan Awam yang lebih berkesan dan berwibawa, selaras dengan semangat menjunjung kepimpinan dan kedaulatan raja.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan mengurniakan anugerah-anugerah Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan kepada agensi, kumpulan dan individu yang telah menunjukkan pencapaian, inovasi serta kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Pengurniaan tersebut merangkumi tiga bentuk anugerah dan pengiktirafan utama iaitu Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) melalui Penarafan Bintang, Anugerah Inovasi Perdana (AIP) dan Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA).
Bagi pengiktirafan 3PSA melalui Penarafan Bintang, sebanyak lima jabatan kerajaan telah menerima pengiktirafan pada tahun ini.
Jabatan Pengajian Islam, KHEU dan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah diiktiraf mencapai empat bintang pada tahap ‘Sangat Baik’.
Manakala tiga agensi telah diiktiraf mencapai tiga bintang pada tahap ‘Baik’ iatu Jabatan Daerah Temburong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK), Kementerian Pendidikan; Pusat Kebangsaan E-Kebangsaan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Program tersebut merupakan penilaian terhadap prestasi pengurusan agensi kerajaan dari segi kecekapan, keberkesanan, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan
Pengiktirafan diberikan kepada agensi yang mencapai penarafan tiga bintang dan ke atas sebagai dorongan untuk terus meningkatkan prestasi dan membudayakan penambahbaikan berterusan.
Sementara itu, bagi AIP, Kumpulan ‘Integr8’ dari Bahagian Teknologi Maklumat, Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menerima Anugerah Emas menerusi projek ‘Bantuan Kecerdasan Buatan (A.I) Pemangkin Transformasi Digital’.
Manakala Anugerah Perak dianugerahkan kepada Kumpulan ‘TIMS Titans’ dari Unit Statistik, Bahagian Dasar, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri bagi projek ‘TIMS: Tourism Information Management Systems’.
Anugerah Gangsa pula dianugerahkan kepada ‘AEU TEMD TEAM’ bagi projek ‘APLIKASI HR Pulse (Human Resource Management System)’.
AIP memberikan pengiktirafan kepada individu atau kumpulan dalam Perkhidmatan Awam yang berjaya melaksanakan projek inovatif yang membawa hasil dan manfaat nyata kepada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.
Pada tahun ini, AIP mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan pada 2019, dengan menerima sebanyak 33 projek.
Selain itu, seramai 48 pegawai dan kakitangan kerajaan dari 12 kementerian telah menerima APCPA.
Anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan dalam Bahagian II hingga Bahagian V yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang serta komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Kebawah DYMM kemudian berkenan dijunjung menyaksikan Pameran Mini Kepimpinan dan Inovasi Perkhidmatan Awam yang mengetengahkan pelbagai projek, inisiatif dan pencapaian dalam bidang pembangunan kepimpinan serta inovasi Perkhidmatan Awam.
Pameran berkenaan mengetengahkan hasil projek daripada program pembangunan kepimpinan dan AIP, yang mencerminkan usaha berterusan agensi-agensi kerajaan dalam memperkukuh keupayaan, meningkatkan kecekapan serta menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Kebawah DYMM seterusnya dijunjung bagi menghadiri Majlis Santap.
Sambutan HPA merupakan acara tahunan bagi menghargai dan mengiktiraf jasa serta sumbangan warga Perkhidmatan Awam dalam pembangunan negara.
Sambutan kali ini memperkenalkan tema baharu bagi tempoh tiga tahun bermula 2026 hingga 2028.
Tema tersebut ‘Menjulang Kepimpinan dan Kedaulatan Raja: Memacu Perkhidmatan Awam Yang Transformatif’ mengetengahkan peranan penting perkhidmatan awam ke arah menjulang kepimpinan dalam pemerintahan Kebawah DYMM khususnya menjelang Sambutan Jubli Intan Kebawah DYMM pada tahun 2027 sempena 60 tahun baginda menaiki takhta.
Tema ini menekankan keistimewaan sistem pemerintahan Negara Brunei Darussalam melalui tiga tonggak utama iaitu Raja Berdaulat Berteraskan Islam, Kebawah DYMM selaku Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan, serta penyatuan peranan raja dan Ketua Kerajaan yang menjamin kesinambungan kepimpinan, kestabilan pentadbiran dan keberkesanan tadbir urus negara.
Dalam pada itu, kepimpinan dan kedaulatan raja juga menjadi pemangkin dalam memacu transformasi Perkhidmatan Awam ke arah sebuah institusi yang lebih progresif, responsif dan berdaya tahan, seiring dengan hala tuju dan aspirasi pembangunan negara.
Tema sambutan berkenaan turut diketengahkan menerusi tayangan klip video yang menggambarkan peranan Perkhidmatan Awam dalam menterjemahkan hala tuju dan aspirasi tersebut melalui pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Sehubungan itu, warga Perkhidmatan Awam akan terus menanai amanah, memelihara integriti dan memikul tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik ke arah menjulang kepimpinan dan kedaulatan raja demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, selain mendukung pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
Acara-acara Sambutan HPA pada tahun ini akan diteruskan dengan Forum Khas Perkhidmatan Awam bertemakan ‘Transformasi Perkhidmatan Awam, Inspirasi Raja Dijulang’ pada hari Sabtu, 31 Oktober 2026, bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa.
Forum tersebut akan menghimpunkan penceramah dan ahli panel dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta pendekatan terbaik dalam memperkukuh transformasi Perkhidmatan Awam khususnya dalam bidang tadbir urus, kepimpinan, pendigitalan, inovasi dan pembangunan keupayaan.