Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 29 Oktober. - Selaras dengan tumpuan kepada kepimpinan dan inovasi, Pameran Mini sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-33, Tahun 2026, mengetengahkan pelbagai inisiatif pembangunan kepimpinan dan projek inovasi dalam usaha memperkukuh kecemerlangan Perkhidmatan Awam Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan pameran tersebut yang diadakan di Ruang Legar, ICC, Berakas.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Pada pameran tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mula-mula dijunjung menyaksikan persembahan teknologi Holobox, iaitu paparan avatar hologram digital yang menyampaikan ucapan alu-aluan Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menyaksikan enam ruang pameran interaktif (mixel) yang memaparkan inisiatif pembangunan kepimpinan melalui Civil Service Leadership Pipeline (CSLP), merangkumi Young Executive Programme (YEP), Program Pembangunan Kepimpinan bagi Pegawai Peringkat Pertengahan (MMO) serta Pegawai Kanan (EDPSGO).
Program-program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam melahirkan pemimpin Perkhidmatan Awam yang berwibawa dan berdaya saing.
Baginda seterusnya dijunjung menyaksikan ruang pameran yang mengetengahkan program kerjasama pembangunan kepimpinan tiga hala antara Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia dan Republik Singapura melalui satu ruang pameran khusus yang memaparkan pengalaman pembelajaran serta usaha memperkukuh jaringan kerjasama serantau.
Sementara itu, enam ruang pameran berikutnya memaparkan projek-projek inovasi di bawah Anugerah Inovasi Perdana (AIP) yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pengurusan.
Inisiatif berkenaan bertujuan menggalakkan penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan organisasi serta menghasilkan penyelesaian inovatif dalam sektor kerajaan.
Secara keseluruhannya, penganjuran pameran ini mencerminkan komitmen berterusan Perkhidmatan Awam NBD dalam membangunkan modal insan berkualiti, meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memperkukuh budaya inovasi ke arah mewujudkan Perkhidmatan Awam yang lebih progresif, responsif dan berorientasikan masa hadapan.
Pameran bertujuan meningkatkan produktiviti, memperkukuh pembangunan kepimpinan serta memupuk budaya inovasi dalam Perkhidmatan Awam, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.