Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Na'il Haris Haji Muhd. Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) terutama para jemaah di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong merafakkan doa, "Allahumma Ya Rahman Ya Rahim (Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim), bersempena dengan hari keputeraan raja kami, Al-Wathiqu Billah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 tahun, kami selaku rakyat jelata di NBD merafakkan rasa syukur dan gembira atas nikmat lanjut usia, sihat tubuh badan serta kekal karar memerintah bagi raja kami, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
"Allahumma Ya Allah Ya Tuhan kami, mohon perkenankan doa kami, supaya kami terus konsisten mengasihi raja kami, terus menyokong dan mendukung kepimpinan baginda, sehingga dengan itu dapatlah baginda merealisasikan harapan baginda sendiri dan harapan seluruh rakyat dan penduduk NBD untuk melihat negara ini menjadi sebuah negara yang maju, yang mantap lagi aman di bawah naungan dan pemeliharaan Allah.
"Allahumma, lanjutkan usia raja kami Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, ahli kerabat baginda, para hadirin dan rakyat sekalian, di dalam iman dan takwa, sihat afiat, aman makmur lagi sejahtera," demikian doa para jemaah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bersama para jemaah di sini menyerikan lagi Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, pada tahun ini.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia, dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; serta Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Sejurus jam 6.38 petang, Azan Fardu Maghrib dilaungkan oleh Pegawai Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Begawan Mudim Awang Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh diikuti Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syar'ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah.
Sebelum meninggalkan majlis, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada para jemaah yang hadir.
Selain tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, tumpuan bagi acara keugamaan berkenaan juga diadakan di masjid-masjid seluruh negara, iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara di Masjid Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Manakala di Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria.
Sementara bagi Daerah Tutong pula, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; manakala di Daerah Temburong bertempat di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Sementara itu, sudah menjadi kelaziman, bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda pada tanggal 15 Julai akan merakamkan momen bersejarah dengan berlangsungnya Istiadat Barisan Kehormatan yang akan diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien disusuli dengan acara-acara lain yang sudah disusun bagi memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta kerabat diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia, sihat walafiat dan juga semoga Kebawah DYMM kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan dan memimpin NBD dengan penuh berdaulat, adil saksama serta aman sejahtera.
Daulat Kebawah Duli Tuan Patik.