REPUBLIK SINGAPURA, Khamis, 1 Oktober. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan melawat Singapore Oceanarium, hari ini, sebagai sebahagian daripada atur cara eksekutif Program Pemimpin-pemimpin Muda (YLP) Singapura-Brunei Kali Ke-12.
Sejurus keberangkatan tiba di Singapore Oceanarium, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Lawatan dimulakan dengan tinjauan sambil berjalan yang dipandu, di mana Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan menerima sembah taklimat mengenai kepelbagaian hidupan marin di galeri-galeri terpilih.
Selepas lawatan itu, Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong menganjurkan Majlis Santap Malam bagi meraikan lawatan Duli Yang Teramat Mulia. Majlis tersebut diadakan di Ocean Gallery.
Majlis ini mencerminkan perkongsian dua hala yang kukuh serta hubungan rapat yang berkekalan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.