Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Sabtu, 3 Oktober. - Dewan Pelajar Ekonomi (DPE) menganjurkan edisi kedua The Invisible Handshake Series (IHS), yang menghimpunkan para pelajar, golongan profesional dan orang ramai dalam sesi ‘fireside chat’ bagi membincangkan aspirasi ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) serta persediaan negara dalam menghadapi perkembangan ekonomi pada masa akan datang.
Bertempat di Guren Cafe, Jerudong, sesi berkenaan membawa tema ‘Brunei’s Economic Ambitions: Are We Ready for What’s Next?’ dan menampilkan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Daniel Leong, sebagai tetamu khas.
Sesi berkenaan dikendalikan oleh Awang Afiq Izzuddin selaku moderator dan dihadiri oleh lebih 30 peserta yang terdiri daripada pelajar, graduan baharu dan golongan profesional daripada pelbagai latar belakang akademik serta sektor.
Antara yang menyertai sesi berkenaan termasuk wakil daripada institusi-institusi pengajian tinggi serta golongan profesional daripada sektor minyak dan gas, kejuruteraan, hartanah, media dan institusi kawal selia.
The Invisible Handshake Series merupakan inisiatif utama DPE berbentuk ‘fireside chat’ dan sesi jaringan yang bertujuan merapatkan hubungan antara pembelajaran akademik dengan pengalaman serta amalan ekonomi sebenar.
Inisiatif berkenaan turut menyediakan ruang bagi perkongsian pandangan dan pengalaman, di samping membina jaringan antara pelajar, golongan profesional dan masyarakat umum.
Bagi edisi kedua, perbincangan menyentuh beberapa aspek berkaitan transformasi ekonomi, pembangunan modal insan, kemajuan teknologi, produktiviti, daya saing serta peluang ekonomi.
Daniel Leong turut berkongsi pandangan dan pengalaman mengenai perkembangan ekonomi NBD, khususnya berkaitan aspirasi ekonomi negara, pembangunan sektor swasta, pelaburan asing serta perubahan dalam persekitaran perniagaan dan ekonomi yang mempengaruhi penciptaan nilai.
Perbincangan turut mengetengahkan beberapa isu semasa berkaitan perkembangan ekonomi negara, termasuk hala tuju ekonomi Brunei, Pelaburan Langsung Asing (FDI), pertumbuhan dan perkembangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), peluang perniagaan dan eksport, kesediaan tenaga kerja dalam menghadapi perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi, serta peranan golongan belia dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Selepas sesi ‘fireside chat’, para peserta berpeluang menyertai sesi ‘Open Mic Question and Answer’ yang memberi ruang untuk mengemukakan soalan, berkongsi pandangan dan berinteraksi secara langsung mengenai perkara-perkara yang dibincangkan.
Program kemudiannya diakhiri dengan sesi jaringan yang memberi peluang kepada para peserta untuk meneruskan perbincangan, bertukar-tukar pandangan serta membina hubungan dan kerjasama merentas pelbagai bidang dan sektor.
Sebagai program kedua anjuran DPE, The Invisible Handshake Series #2 meneruskan kesinambungan daripada edisi sulung yang diadakan pada Julai 2026 dengan menampilkan Profesor Alvin Ang dari Ateneo de Manila University, Republik Filipina.
Melalui penganjuran siri berkenaan, DPE terus berusaha menyediakan ruang bagi para pelajar, golongan belia, profesional dan masyarakat umum untuk bertukar-tukar pandangan, mendapatkan perspektif daripada pelbagai latar belakang serta membincangkan isu-isu ekonomi yang berkaitan dengan perkembangan semasa.
DPE berharap inisiatif berkenaan akan terus memperkukuh jaringan dan hubungan antara golongan akademik, industri dan masyarakat, di samping menggalakkan perbincangan yang konstruktif serta penglibatan yang lebih luas dalam isu-isu berkaitan ekonomi negara.