Berangkat menghadiri Sesi ASEAN Post Ministerial Conference

23 Jul 2026 - 8:16am

Siaran Akhbar : Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Rabu, 22 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Negara Brunei Darussalam (NBD) berkenan berangkat menghadiri Sesi-sesi ASEAN Post Ministerial Conference (PMC) bersama Rakan-rakan Dialog ASEAN yang berlangsung di Philippine International Convention Center, Manila, Republik Filipina.

Sepanjang hari tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen menyertai ASEAN PMC secara berasingan bersama India, Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia.

Manakala pada sebelah malam pula, Duli Yang Teramat Mulia seterusnya menghadiri ASEAN PMC bersama United Kingdom.

Selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN - European Union (EU), DYTM telah mempengerusikan bersama ASEAN PMC bersama EU dengan High Representative of the EU for Foreign Affairs and Security Policy and Vice-President of the European Commission, Puan Yang Terutama Kaja Kallas.

DYTM seterusnya mengetuai perbincangan yang menekankan kerjasama perdagangan dan ekonomi sebagai tonggak utama ASEAN - EU Strategic Partnership serta menekankan kepentingan memajukan perbincangan ke arah merealisasikan ASEAN - EU Free Trade Agreement bagi memperkukuh daya tahan serta mempelbagaikan ‘supply chains’.

DYTM juga menekankan kepentingan memperkukuh ‘people-to-people ties’ bagi memastikan hubungan yang dinamik serta mencadangkan peluasan peluang biasiswa, latihan amali dan pertukaran profesional bagi mengeratkan lagi hubungan antara ASEAN dan EU.