Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
CANBERRA, AUSTRALIA, Rabu, 12 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman hari ini berangkat tiba di Canberra, Australia bagi Lawatan Rasmi selama empat hari bermula pada 12 hingga 15 Ogos 2026, atas undangan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, The Honourable Richard Marles MP.
Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa’ Raihaanul Bolkiah.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan Yang Teramat Mulia di RAAF Base Fairbairn dijunjung oleh Strategic Advisor for Defence and Security, Mejar Jeneral (Bersara) Andrew Freeman; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy; dan Assistant Minister di Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Australia, The Honourable Matt Thistlethwaite.
Juga berada di RAAF Base Fairbairn ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Australia, Puan Yang Terutama Dayangku Nooraslena binti Pengiran Dato Paduka Haji Sallehuddin.