Berangkat tiba di Shenzhen, Republik Rakyat China

19 Nov 2026 - 8:18am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hernie Suliana Haji Othman

SHENZHEN, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Rabu, 18 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat tiba di Shenzhen, Republik Rakyat China bagi menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Ekonomi APEC (AELM) Ke-33 yang akan berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an dijunjung oleh Chairman of Guangdong Provincial Committee of Chinese People's Political Consultative Conference, Tuan Yang Terutama Lin Keqing; Representative of the Government of the People's Republic of China, Tuan Yang Terutama Han Zhiqiang; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.

Kebawah DYMM berjalan melintasi barisan kawalan kehormatan statik dan menyusuri permaidani merah sebelum menaiki motorkad rasmi.

Juga hadir menjunjung keberangkatan tiba Kebawah DYMM ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Dato Seri Paduka Awang Haji Hisham bin Haji Mohd. Hanifah.