Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin
JERUDONG, Selasa, 18 Ogos. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat bagi Acara Bergambar Ramai bersama dengan Kelab Bola Sepak Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM FC), petang tadi.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pengerusi DPMM FC di Jerudong Park Mini Stadium dijunjung oleh Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj, Timbalan Pengerusi DPMM FC. Turut menjunjung keberangkatan tiba, Pengurus Am DPMM FC, Awang Mohamad Ali bin Haji Momin.
Pada acara tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan bergambar ramai dan beramah mesra bersama dengan para pemain dan pegawai pasukan dan kakitangan kelab DPMM FC sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Musim Kejohanan Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027.
DPMM FC terdiri daripada 25 pemain termasuk sembilan pemain import akan membawa cabaran DPMM FC pada musim ini. DPMM FC dijadualkan memulakan kempen Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027 pada Ahad, 23 Ogos 2026, menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Menjelang perlawanan pembukaan tersebut, Pasukan DPMM FC telah menjalani persiapan dan latihan intensif bagi memastikan para pemain berada pada tahap kecergasan dan persediaan yang terbaik.
Sokongan daripada pihak pengurusan, penaja, penyokong serta seluruh warga Negara Brunei Darussalam (NBD) amat penting dalam memberikan semangat kepada Pasukan DPMM FC untuk menghadapi saingan musim ini.
DPMM FC berharap Liga Super Malaysia Musim 2026 / 2027 akan menjadi satu lagi lembaran kejayaan buat pasukan, sekali gus mengharumkan nama NBD di persada bola sepak serantau.