Baiduri Momentum Summit 2026 teroka prospek ekonomi, pelaburan global

16 Okt 2026 - 8:31am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Mohammad Hasif Matzin

GADONG, Khamis, 15 Oktober. - Lebih 200 penggubal dasar, pemimpin perniagaan, pakar industri, dan profesional pelaburan menghadiri Baiduri Momentum Summit 2026 yang dianjurkan oleh Bank Baiduri hari ini.

Persidangan ini bertujuan untuk meneliti trend makroekonomi, teknologi, dan pelaburan dalam membentuk perniagaan serta pasaran untuk persekitaran global yang semakin kompleks.

Dengan tema ‘Membuka Peluang Dalam Dunia Yang Berubah’, sidang berkenaan juga meneroka bagaimana perniagaan dan pelabur boleh mengharungi kemajuan teknologi yang pesat, keadaan ekonomi yang terus berkembang, dinamik perdagangan yang berubah-ubah, serta corak pertumbuhan yang beransur-ansur berubah, di samping mengenal pasti peluang yang muncul daripada perkembangan-perkembangan ini.

Persidangan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun tersebut dihadiri oleh Menteri Penyelaras Bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat majlis.

Kini memasuki tahun keempat, Baiduri Momentum Summit ini adalah sebagai platform kepimpinan pemikiran utama Bank Baiduri, yang mengumpulkan perspektif serantau dan antarabangsa mengenai perkembangan yang mempengaruhi pertumbuhan, daya saing, dan daya tahan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi, Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan dunia sedang dibentuk oleh kemajuan teknologi yang pesat, keadaan ekonomi yang terus berkembang, dan dinamik pasaran yang berubah-ubah. Dalam persekitaran ini, keupayaan untuk menyesuaikan diri, kekal berdaya saing, dan mengenal pasti peluang baharu menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

"Melalui Baiduri Momentum Summit, kami berhasrat untuk menghimpunkan pelbagai perspektif yang dapat membantu perniagaan dan pelabur mengharungi perubahan serta membuat keputusan yang lebih berasaskan maklumat," tambah beliau lagi.

Persidangan ini turut menampilkan pandangan daripada pakar serantau dan antarabangsa dalam bidang pasaran kewangan, pengurusan aset, dan teknologi.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Penyelidikan Makro di Mizuho Bank, Vishnu Varathan, berkongsi unjurannya mengenai ekonomi global pada tahun 2027, dengan meneliti perkembangan makroekonomi utama serta risiko yang dijangka akan mencorakkan lagi pasaran pada tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, Ketua Ekuiti Asia di Amova Asset Management Asia Limited, Kenneth Tang, pula menumpukan perhatian kepada rantau ASEAN, dengan mengkaji daya tahan rantau ini di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

Beliau turut membincangkan bagaimana trend demografi, peralihan rantaian bekalan, Kecerdasan Buatan, dan pembaharuan struktur mempengaruhi fasa pertumbuhan seterusnya bagi rantau ini.

Dari perspektif teknologi dan pelaburan, Penganalisis Teknologi Kanan di Bloomberg Intelligence, Robert Lea, seterusnya, meneliti realiti komersial di sebalik pertumbuhan pesat Kecerdasan Buatan, serta peluang, risiko, dan kelestarian jangka panjang pelaburan yang mengalir ke dalam sektor tersebut.

Persidangan ini diakhiri dengan sesi perbincangan santai yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan Confer Sdn. Bhd., Allen Lai.

Dengan menghimpunkan ketiga-tiga penceramah, perbincangan tersebut menghubungkan tema-tema utama acara iaitu merangkumi transformasi ekonomi, gangguan teknologi, trend pelaburan, dan daya saing ASEAN sambil meneliti implikasi perkembangan ini terhadap perniagaan dan pelabur pada masa hadapan.

Melalui persidangan ini, Bank Baiduri terus mewujudkan peluang untuk pertukaran idea yang bermakna antara penggubal dasar, pemimpin industri, dan komuniti perniagaan.

Dengan membawa perspektif global dan serantau ke dalam perbincangan tempatan, pihak bank berhasrat untuk menyokong pembuatan keputusan yang lebih berasaskan maklumat serta menggalakkan dialog mengenai trend, cabaran, dan peluang yang mencorakkan Brunei dan rantau ini secara lebih luas.