Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani|Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Na'il Haris Haji Muhd Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berkenan berangkat ke Majlis Persantapan Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 berlangsung di Istana Nurul Iman, malam tadi.
Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Menteri di JPM dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi'atul ‘Adawiyyah binti Pengiran Haji Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Bini Hajah Faizah binti Dato Haji Nasir dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Juga berangkat ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Majeedah Nuurul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Umi Kalthum Al-Islam serta kerabat diraja.
Turut hadir pada majlis tersebut, tetamu-tetamu peribadi baginda antaranya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Fauziah binti Mohd Sanusi; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Dato Seri Paduka Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman dan Menteri Kanan Republik Singapura selaku wakil Kerajaan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Hsien Loong dan Datin Paduka Seri Laila Jasa Madam Ho Ching.
Majlis Persantapan dimulakan dengan bacaan Doa Selamat, dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat dan hadir ke majlis persantapan tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran-Pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, Timbalan-timbalan Menteri, Pengiran-Pengiran Peranakan, Manteri-manteri Pedalaman, para perwakilan asing ke negara ini, Setiausaha-setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan para pegawai kanan kerajaan. Pada akhir Majlis Persantapan Diraja diserikan lagi dengan Persembahan Bunga Api yang berwarna-warni.
Majlis Persantapan Diraja bukan sahaja memberi kesempatan kepada para tetamu khas negara bersua muka dan beramah mesra bersama raja yang kita kasihi serta kerabat diraja yang lain, bahkan ia merupakan peluang bagi para jemputan dalam negara sendiri untuk mengeratkan silaturahim di antara satu sama yang lain dalam sama-sama hadir seterusnya memeriahkan majlis berkenaan.