Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku wakil Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berkenan berangkat ke Kedutaan Besar Negara Qatar di Negara Brunei Darussalam bagi menandatangani Buku Ucapan Takziah berikutan kemangkatan His Highness The Father Amir of Qatar, Sheikh Hamad bin Khalifa Al Thani pada 12 Julai 2026.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Qatar ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Abdullah Hamad Ali Al Adham Al Marri, serta pegawai-pegawai kanan kedutaan.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof.