Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin
JERUDONG, Ahad, 2 Ogos. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat menyertai The Huntr Challenge yang dianjurkan oleh Huntr Evnt Sdn. Bhd. bersempena Brunei Fitness Festival (BFF) 2026.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan menyertai Kategori Cabaran Berpasukan Berganti-ganti di mana cabaran tersebut menyaksikan penyertaan daripada atlet-atlet kecergasan fizikal dari dalam dan luar negara.
Diadakan di Dewan BRIDEX 2, Jerudong, di sini, The Huntr Challenge merupakan antara salah satu acara yang diadakan bersempena dengan BFF 2026 yang disokong oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan serta dikendalikan oleh Imagine Sdn. Bhd.
The Huntr Challenge mengetengahkan aktiviti-aktiviti fizikal dan kecergasan untuk menerapkan gaya hidup aktif dan sihat.
Huntr Games adalah fitness racing terbaharu yang berpangkalan dari Malaysia, dengan hasil idea Pengasas Huntr Games iaitu Azrul Izzam dan Azwani Ahmad dilancarkan di Negara Brunei Darussalam hanya menggunakan satu peralatan dan sandbag. Ia bertujuan agar lebih ramai menyertai sukan fitness racing tanpa dihalang kos yang tinggi atau peralatan yang kompleks.
Seramai lebih 300 orang menyertai acara pertama yang diadakan di negara ini malah juara Program TV Physical Asia turut sama menyertai Huntr Games ini. Dengan adanya acara ini, adalah diharapkan akan dapat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah satu pusat kejohanan dunia Huntr Games pada masa yang akan datang.