Gilap bakat, kreativiti menerusi Bengkel Fotografi

6 Okt 2026 - 6:45am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BERAKAS, Isnin, 5 Oktober. - Sebanyak 49 peserta menyertai Bengkel Fotografi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai wadah memperkasa kemahiran, kreativiti dan potensi dalam seni fotografi.

Bengkel selama lima hari itu bermula hari ini hingga Sabtu, 10 Oktober 2026, bertempat di Balai Sarmayuda, DBP, di sini, dan dianjurkan melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan dengan kerjasama Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam (PFNBD).

Hadir pada majlis pembukaan dan seterusnya menyampaikan ucapan alu-aluan ialah Pemangku Timbalan Pengarah DBP dan Ketua Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan, Dayang Hajah Haireni binti Awang Haji Damit, selaku Pengerusi Majlis.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menekankan komitmen DBP untuk mengangkat institusi ini sebagai hab ilmu untuk terus diperkukuh melalui usaha memperkaya pengetahuan serta memperkasa kemahiran masyarakat dalam pelbagai bidang kreatif.

Sehubungan itu jelasnya, kita tidak ketinggalan dalam menyediakan ruang dan peluang keemasan kepada golongan belia di negara ini untuk meneroka potensi diri serta mengembangkan kreativiti mereka dalam seni fotografi.

Tambahnya, perkembangan pesat teknologi digital, khususnya kamera canggih, telefon pintar, aplikasi penyuntingan, dan media sosial telah melonjakkan akses serta permintaan tinggi terhadap seni lensa ini.

“Hari ini, ia dimanfaatkan secara meluas oleh pelbagai sektor bagi tujuan dokumentasi, promosi, pengiklanan, hinggalah kepada penghasilan kandungan digital yang kreatif,” ujarnya.

Oleh yang demikian, penganjuran bengkel ini amat bertepatan dengan arus perdana tersebut dalam memperkaya pengetahuan, teknik dan daya kreativiti.

Secara strategik, inisiatif ini bukan sahaja mampu memperkukuh kompetensi diri, malah menyumbang secara langsung kepada pembangunan bakat dalam industri kreatif.

Kemahiran yang ditimba ini katanya lagi, bukan sekadar nilai tambah profesional, malah berpotensi besar untuk diterjemahkan sebagai sumber pendapatan yang baik.

Beliau turut mengongsikan, bengkel yang dibukakan pendaftarannya sejak September lalu telah mendapat sambutan luar biasa apabila melepasi sasaran dengan penyertaan seramai 49 orang.

Para peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan belia dalam kalangan pegawai kerajaan, sektor swasta, mahasiswa institusi pengajian tinggi, serta orang perseorangan.

Bengkel ini akan merangkumi sesi bimbingan dan penerangan, perbincangan serta latihan praktikal yang akan dikendalikan oleh lima orang pembimbing dari PFNBD, terdiri daripada Yang Di-Pertua PFNBD, Pengiran Haji Sulaiman bin Pengiran Md. Salleh; Penasihat PFNBD, Awang Haji Mohammad Yusof bin Mohammad Yassin; Setiausaha Agung PFNBD, Awang Amri bin Haji Md. Salleh; Setiausaha Bimbingan PFNBD, Awang Haji Rafieh bin Haji Momin; dan Ahli Jawatankuasa Biasa PFNBD, Awang Haji Kahan bin Haji Nasir.

Antara pengisian bengkel pula ialah Pengenalan; Asas Fotografi; Latihan Praktikal; Teknik Penyuntingan; Penyimpanan Gambar dan Sesi Perkongsian.

Turut diadakan semasa bengkel itu nanti ialah Pertandingan Fotografi Kreatif yang khusus dibukakan kepada peserta-peserta bengkel, di mana setiap peserta akan diberikan tugasan oleh pembimbing bengkel untuk mengambil satu gambar yang terbaik untuk dipertandingkan.

Peserta yang dapat menghasilkan gambar yang terbaik dan bernilai tinggi akan diangkat sebagai pemenang pertama, kedua dan ketiga, dan setiap pemenang akan menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.

Objektif bengkel adalah untuk membimbing dan meningkatkan kemahiran serta kepakaran dalam bidang fotografi, selain membarigakan peranan DBP sebagai sebuah agensi kerajaan yang menyalurkan pelbagai ilmu pengetahuan termasuklah bidang seni fotografi.

Di samping itu dapat menghasilkan dan mengangkat karya-karya foto yang terbaik serta berkualiti; menggalakkan penglibatan aktif para belia dalam program pembangunan kemahiran yang dapat meningkatkan pengetahuan, keyakinan diri dan daya saing dalam menghadapi cabaran yang semakin dinamik; dan mengekspresikan dan memvariasikan kreativiti masyarakat melalui seni fotografi seterusnya menjadi suatu sumber pendapatan yang dapat menjana kepada kemajuan sosioekonomi negara.