BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 12 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah-titah perutusan takziah kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Negara Qatar dan kepada Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Qatar, His Excellency Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani serta kepada ahli-ahli kerabat diraja dan rakyat Negara Qatar atas kemangkatan His Highness Sheikh Hamad bin Khalifa AI Thani, Father Amir of the State of Qatar baru-baru ini.
Dalam titah-titah perutusan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan ucapan takziah yang amat mendalam kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Amir Negara Qatar dan kepada Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Qatar, His Excellency Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani serta kepada ahli-ahli kerabat diraja dan rakyat Negara Qatar.
Baginda seterusnya menyatakan di bawah kepimpinan bijaksana His Highness Sheikh Hamad bin Khalifa AI Thani, Negara Qatar telah mencapai kemajuan yang luar biasa dan berjaya memperkukuh kedudukannya di peringkat serantau dan antarabangsa.
Kemangkatan His Highness Sheikh Hamad bin Khalifa AI Thani adalah merupakan satu kehilangan besar dan akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin terkemuka dan arkitek transfomasi moden Negara Qatar di samping dedikasinya yang berterusan dalam memperingkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Qatar.
Pada mengakhiri titah-titah perutusan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan menempatkan roh Al-Marhum His Highness Sheikh Hamad bin Khalifa AI Thani dalam golongan orang-orang yang beriman.