Berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina

1 Sep 2026 - 7:24am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina, Yang Amat Arif Alexander G. Gesmundo dan delegasi.

Menyertai Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina semasa Majlis Mengadap berkenaan ialah Chancellor of the Philippine Judicial Academy, Mr. Edgardo L. Delos Santos; Vice Chancellor of the Philippine Judicial Academy, Mr. Sedfrey M. Candelaria; Judicial Staff Head, Office of the Chief Justice, Attorney Antonio Ceaser R. Manila; dan Chargé d’ Affairés Kedutaan Republik Filipina di Brunei Darussalam, Puan Bernadette A. Mendoza.

Turut hadir ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar, Negara Brunei Darussalam (NBD), Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Dato Paduka Awang Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar, Yang Arif Awang Muhammed Faisal bin Pehin Datu Juragan Laila Diraja Kolonel (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Kefli; Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad; dan Pemangku Ketua Pendaftar Mahkamah Besar, Dayang Hajah Hazarena binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.

Semasa Majlis Mengadap berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina berbincang mengenai dengan kerjasama kehakiman yang sedang berjalan di antara kehakiman NBD dan Republik Filipina.

Yang Amat Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar Republik Filipina berada di negara ini bagi lawatan kerja mulai 29 hingga 31 Ogos 2026 dan juga menghadiri Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unit Pendidikan Latihan Kehakiman Mahkamah Besar NBD dan pihak Philippine Judicial Academy pada 30 Ogos 2026 di Bandar Seri Begawan, NBD.

Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Istana Nurul Iman.