Doa kesyukuran raikan 29 penerima biasiswa KHEU

1 Sep 2026 - 7:07am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Isnin, 31 Ogos. -  Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) pagi tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bagi Penganugerahan Biasiswa KHEU Sesi Akademik 2026/2027 kepada seramai 29 pelajar yang menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara.

Majlis berkenaan diadakan di Cesar Grand Hall, Mulia Hotel, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad; Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Awang Haji Arman bin Haji Asmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei, Jabatan Majlis Ugama Islam, KHEU, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin; serta pegawai-pegawai kanan KHEU.

Seramai 16 pelajar akan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di Universiti Al-Azhar dan Ma'had Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir, dalam bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa Arab serta Takhassus Al-Quran wa al-Qiraat. Selain itu, seramai lima pelajar akan melanjutkan pengajian ke Malaysia.

Daripada jumlah berkenaan, empat pelajar akan melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masing-masing dalam bidang Doktor Falsafah (Ph.D.) Pemikiran dan Tamadun Islam, Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua), Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dalam Fiqh dan Usul Fiqh serta Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dalam Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah.

Manakala, seorang pelajar lagi akan melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sarjana Pengajian Islam (Al-Quran dan Al-Sunnah).

Di samping itu, seramai tiga pelajar turut menerima tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke University College Cork, Republik Ireland, dengan seorang pelajar mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda dalam bidang perubatan, manakala dua pelajar dalam bidang pergigian.

Majlis juga menyaksikan seramai lima pelajar menerima biasiswa melalui Skim Khas 'A' Level bagi melanjutkan pengajian ke Sekolah Antarabangsa Jerudong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama, JPI, KHEU, Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, diikuti dengan ucapan oleh Pengerusi Majlis, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, KHEU, Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan tayangan video, diikuti dengan penyampaian surat penganugerahan biasiswa KHEU kepada para penerima yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery.