Berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke KHEU

25 Og 2026 - 10:13am

Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah, Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Isnin, 24 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jalan Dewan Majlis.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memulakan Keberangkatan Tidak Berjadual dengan keberangkatan ke Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, KHEU.

Menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut menjunjung keberangkatan tiba, Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohammad; Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned serta pegawai-pegawai kanan KHEU.

Acara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan mengurniakan titah.

Semasa keberangkatan tersebut, Kebawah DYMM juga berkenan melawat Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), KHEU. JUZWAB ditubuhkan dan dirasmikan pada 19 Julai 2023 setelah penggabungan dan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat (BAKAZ) dan Bahagian Waqaf dan Baitulmal, MUIB.

Antara peranan utama JUZWAB adalah memastikan pengurusan wang zakat, termasuk kutipan dan pengagihannya adalah dilaksanakan secara teratur dan efisien di samping memastikan pelaksanaan program-program dan inisiatif-inisiatif bagi memperkasa keupayaan asnaf zakat adalah secara terancang dan berkesan.

Selain itu, JUZWAB juga bertanggungjawab memastikan keberkesanan pengurusan dan inisiatif-inisiatif mengembangmajukan harta-harta waqaf dan baitulmal bagi menjaga kemaslahatan golongan-golongan sasaran serta meningkatkan memperkukuh fiskal negara.

Turut menarik perhatian baginda semasa keberangkatan tersebut ialah premis Kafe Pengupayaan Asnaf, yang merupakan pusat latihan praktikal dan pemasaran produk di bawah Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ), dikendalikan JUZWAB.

Penubuhan Pusat Kemahiran Asnaf merupakan salah satu pencapaian terkini PROPAZ dalam usaha memperkasa pengendalian program-program pengupayaan yang bersistematik dan komprehensif. Ia diwujudkan sebagai platform untuk asnaf fakir miskin dilatih dan dibimbing dalam bidang keusahawanan sehingga mereka berjaya membangun perniagaan sendiri masing-masing.

Pusat berkenaan, yang diubah suai dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Bank Islam Brunei Darussalam, telah dirasmikan pada 31 Julai 2025 bersempena pelaksanaan Program Kemahiran Keusahawanan, sebuah program rintis dalam bidang penyediaan makanan dan minuman.

Pusat tersebut menyediakan latihan teori dan praktikal serta bimbingan mentor bagi membolehkan peserta memperoleh pengalaman mengendalikan perniagaan sebenar.

Dilengkapi dengan kafe, Kiub Pengupayaan Asnaf dan dapur komersial, pusat berkenaan memberi peluang kepada pelatih mempelajari pelbagai aspek pengurusan perniagaan, termasuk penyediaan dan penyajian makanan, pengurusan kewangan, kawalan stok, pemasaran serta kemahiran insaniah.