Berkenan menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada 793 graduan

12 Og 2026 - 9:26am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 TUNGKU LINK, Selasa, 11 Ogos. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini menyaksikan Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 bagi meraikan para graduan Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD berkenan berangkat menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Pro-Canselor  UBD.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Canselor,  UBD, di sini, dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.

Majlis Konvokesyen UBD Ke-38 turut mencatatkan beberapa detik bersejarah, antaranya buat pertama kalinya dalam sejarah konvokesyen UBD, seorang Al-Hafiz memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi memberkati majlis.

Pengiran Muhammad Abdul Majeed Ariffin bin Pengiran Haji Muhammad Abdul Aziz, graduan Ijazah Sarjana Sains dalam Biodiversiti, memperdengarkan bacaan Surah Saba', ayat 10 hingga 13 di hadapan para hadirin.

Selain kejayaan akademik, beliau turut menerima Ijazah Khas Hafaz Al-Quran 30 Juzuk daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada tahun 2022 ketika masih menuntut di UBD. Acara kemudian diikuti dengan sembah alu-aluan dari Naib Canselor  UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.

Sejurus itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengurniakan titah dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan ijazah kepada seramai 793 graduan mengikut bidang masing-masing daripada graduan PhD, Ijazah Sarjana Muda Sastera, Ijazah Sarjana Muda Sains, Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Ekonomi Digital.

Pada majlis tersebut turut menyaksikan kumpulan pertama graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Digital dalam Kecerdasan Buatan dan Robotik (Bachelor of Digital Science in Artificial Intelligence and Robotics Students).

Program pengajian selama tiga tahun itu memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai sifat pelbagai disiplin dalam bidang kecerdasan buatan dan robotik, termasuk elektronik, mekanikal dan pengkomputeran serta pengkomputeran fizikal bagi sistem pintar dan Internet of Things (IoT).

Program Kecerdasan Buatan dan Robotik di Sekolah Sains Digital UBD direka bagi melahirkan generasi baharu tenaga profesional dalam teknologi yang berupaya membangunkan sistem pintar untuk memenuhi keperluan dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital.

Kurikulum program berkenaan merangkumi asas sains komputer, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, robotik, sistem terbenam dan teknologi berasaskan data, di samping memberi penekanan kepada pengalaman praktikal, pengaturcaraan, reka bentuk sistem pintar dan pembelajaran berasaskan projek.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Pada tahun ini, seramai 1,181 graduan menerima ijazah masing-masing, terdiri daripada 56 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 304 graduan Ijazah Sarjana, 806 graduan Ijazah Sarjana Muda, lima graduan Micro-Master dan 10 penerima Diploma.

Sejurus selepas penganugerahan ijazah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan paduka anakanda baginda berkenan berangkat menyaksikan pameran khas yang mengetengahkan pencapaian UBD sepanjang tahun dan seterusnya berkenan melihat dan melancarkan secara rasmi 'UBD Digital Transformation Blueprint 2030', iaitu kerangka institusi yang menjadi panduan kepada transformasi digital UBD bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kerangka strategik tersebut bertujuan membentuk semula cara UBD beroperasi, mengajar, menjalankan penyelidikan dan melaksanakan tadbir urus, di samping menyediakan pengalaman digital yang lancar bermula daripada proses kemasukan sehingga tamat pengajian dan seterusnya.

Blueprint berkenaan distrukturkan berasaskan tiga tonggak utama, iaitu Infrastruktur; Dasar dan Pengurusan; serta Pendidikan dan Penyelidikan, yang dilaksanakan melalui platform digital bersepadu UBD, Nexus for Architecture, Data and Intelligence (NADI).

Pembangunannya dipandu oleh AISEnse yang bertanggungjawab dalam pembangunan NADI serta tadbir urus kecerdasan buatan secara beretika. Antara pencapaian bersejarah UBD yang turut diketengahkan dalam pameran ialah pelancaran benih ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Projek bertajuk 'Spaceflight-induced Seed Mutagenesis for Brunei's Food Security and Resilience' itu merupakan hasil kerjasama UBD melalui Institute for Biodiversity and Environmental Research (IBER), Jabatan Pertanian dan Agrimakanan di bawah Kementerian Ekonomi dan Industri serta Space Faculty Pte. Ltd., Republik Singapura.

Projek berkenaan bertujuan mendedahkan benih padi tempatan kepada sinaran kosmik bagi mencetuskan variasi genetik yang berpotensi menghasilkan varieti tanaman baharu yang mempunyai hasil lebih tinggi.

Inisiatif tersebut diharap dapat memperkukuh kedaulatan makanan negara serta menyokong matlamat kelestarian global, di samping menjadi satu langkah penting bagi Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam memanfaatkan teknologi angkasa untuk menangani cabaran alam sekitar dan keselamatan makanan.

Pameran ketiga mengetengahkan projek Sahabat-Care, iaitu projek yang memenangi AI Ready ASEAN Youth Challenge 2026. Platform penjagaan demensia berkuasakan kecerdasan buatan itu dibangunkan oleh calon PhD daripada PAPRSB IHS dan Sekolah Sains Digital, iaitu Ummi Salwa Suhaimei dan Hein Minn Tun @ Salman.

Mewakili NBD di bawah pasukan 3HAI, projek tersebut menggabungkan analisis pertuturan dan bahasa, pemerhatian tingkah laku berasaskan video, kecerdasan buatan perbualan serta analitik ramalan bagi menyokong pengesanan awal kemerosotan kognitif, selain meningkatkan akses kepada sokongan penjagaan yang diperibadikan.

Pencapaian tersebut menyerlahkan sumbangan UBD yang semakin berkembang dalam bidang kecerdasan buatan, kesihatan awam digital dan penyelesaian berteraskan inovasi bagi menangani cabaran sebenar masyarakat.

Sahabat - Care juga mencerminkan komitmen berterusan UBD dalam membangunkan teknologi berpusatkan manusia dan berteraskan etika bagi menyokong akses kepada penjagaan kesihatan, kesejahteraan masyarakat dan kerjasama serantau.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM dan paduka anakanda baginda berkenan dijunjung bergambar ramai dan kemudiannya beramah mesra bersama para graduan dan ibu bapa serta penjaga mereka.