Oleh : Khartini Hamir
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman, petang tadi berkenan menerima mengadap Menteri Kanan Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Lee Hsien Loong dan isteri, Datin Paduka Seri Laila Jasa Madam Ho Ching.
Semasa Majlis Mengadap berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Tuan Yang Terutama Menteri Kanan Republik Singapura bertukar-tukar pandangan dan pendapat mengenai isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.
Menyertai bersama TYT Menteri Kanan Republik Singapura pada Majlis Mengadap berkenaan, Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Republik Singapura, Goh Pei Ming; dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Yip Wei Kiat.
TYT Menteri Kanan Republik Singapura, dan isteri serta rombongan berada di negara ini pada 14 hingga 17 Julai 2026 bagi menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, Tahun 2026.
Sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi berkenaan, TYT Menteri Kanan Republik Singapura dan isteri telah menghadiri Istiadat Barisan Kehormatan dan Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam, yang kemudian akan diikuti dengan Majlis Santap Diraja pada 16 Julai 2026.
Di samping itu, TYT Menteri Kanan Republik Singapura juga dijangka akan mengadakan kunjungan muhibah kepada beberapa Menteri Kabinet NBD serta anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang sedang menjalani latihan di negara ini.
Majlis Mengadap berkenaan berlangsung di Qashr Al-Meezan.