Bertukar pandangan mengenai pengurusan, pembangunan harta MUI

15 Jul 2026 - 9:50am

Siaran Akhbar dan Foto : Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) baru-baru ini mengadakan sesi dialog bersama Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) bagi mendapatkan penerangan mengenai peranan, fungsi, pencapaian serta hala tuju strategik badan berkenaan dalam mengurus, membangunkan dan mengembangmajukan harta-harta Majlis Ugama Islam (MUI).

Hadir mengalu-alukan rombongan, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Naib Yang Dipertua MUI merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI.

Dalam ucapan alu-aluannya, Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan menzahirkan penghargaan atas kesudian Ahli-ahli MMN mengadakan sesi dialog berkenaan sebagai platform untuk memperkukuh persefahaman, mengeratkan kerjasama serta bertukar-tukar pandangan secara konstruktif mengenai pengurusan dan pembangunan harta-harta MUI.

Sepanjang sesi berkenaan, Ahli-ahli MMN telah diberikan taklimat mengenai latar belakang penubuhan BTHMUI, mandat dan fungsinya, pelan strategik, program-program yang sedang dilaksanakan, pencapaian organisasi serta hala tuju pembangunan pada masa hadapan.

Sesi diteruskan dengan dialog yang memberi peluang kepada Ahli-ahli MMN mengemukakan pandangan, cadangan dan saranan bagi memperkukuh tadbir urus, meningkatkan keberkesanan pengurusan serta memperkasa usaha mengembangmajukan dan melaburkan harta-harta Baitul Mal demi kepentingan umat Islam, di samping menyokong pembangunan ekonomi Negara Brunei Darussalam.