BMC perkukuh komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar

29 Okt 2026 - 6:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Brunei Methanol Company Sdn. Bhd.

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Oktober. - Brunei Methanol Company Sdn. Bhd. (BMC) telah menganjurkan inisiatif penanaman pokok bakau di Pantai Serasa pada hari ini, menerusi Projek Pemulihan Bakau Carbon Akar (Carbon Akar Mangrove Restoration Project), sebagai sebahagian daripada Minggu Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) 2026 syarikat berkenaan.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BMC terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian.

Hadir pada acara berkenaan, Pengarah Bahagian Keselamatan Proses, Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Awang Hairol Nizam bin Mokti; Pemangku Timbalan Pengarah Bahagian Taman dan Rekreasi, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Awang Muhammad Akmal Fikri Yusra; serta wakil-wakil daripada JASTRe, Pihak Berkuasa Petroleum Negara Brunei Darussalam (PA) dan Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (Brunei Climate Change Office - BCCO), di samping pihak pengurusan eksekutif dan para pekerja BMC.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya secara berturut-turut, Minggu HSSE BMC terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kesedaran dan budaya HSSE di tempat kerja, yang merangkumi empat aspek utama, iaitu kesihatan, keselamatan, sekuriti dan alam sekitar.

Meneruskan usaha penanaman pokok yang dilaksanakan sejak tiga tahun kebelakangan ini, BMC buat julung kalinya menganjurkan inisiatif penanaman pokok bakau di bawah projek berkenaan, dengan sebanyak 52 anak pokok bakau ditanam di Pantai Serasa.

Acara berkenaan turut disertai dengan aktiviti pembersihan pantai yang menyaksikan para peserta berganding bahu mengutip sebanyak 198 kilogram sampah, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran pesisir pantai yang lebih bersih.

Kedua-dua aktiviti berkenaan mencerminkan komitmen berterusan syarikat terhadap pemuliharaan alam sekitar, pemulihan ekosistem pesisir pantai serta perlindungan biodiversiti.

Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Pegawai Eksekutif BMC, Jesús Enrique Mora Marín, menekankan bahawa tanggungjawab terhadap alam sekitar bukan sahaja terhad kepada operasi teras syarikat, malah turut merangkumi usaha meminimumkan kesan terhadap alam sekitar sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen BMC terhadap pemeliharaan alam sekitar sebagai sebahagian daripada usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat, berpandukan strategi #RESPECT, di samping menyokong aspirasi negara dalam pemuliharaan alam sekitar, perlindungan biodiversiti dan pembangunan mampan, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

Melalui komitmen berterusan terhadap pemuliharaan alam sekitar, BMC berharap dapat meningkatkan kesedaran, menggalakkan tanggungjawab bersama serta menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem semula jadi demi kesejahteraan generasi akan datang.