Borang penyertaan Sambutan Maulud Nabi kini dibukakan

22 Jul 2026 - 5:35am

Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 21 Julai. - Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448 Hijrah akan diadakan pada Selasa, 12 Rabiulawal 1448 bersamaan 25 Ogos 2026 secara serentak di keempat-empat daerah bermula pada jam 7.00 pagi.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1448H sukacita mempelawa penyertaan pasukan-pasukan dan orang ramai bagi bersama-sama ikut serta dalam sambutan berkenaan nanti.

Bagi Daerah Brunei dan Muara (DBM), penyertaan adalah dibukakan kepada Kategori 1 : Pasukan Tidak Bernombor; Kategori 2 : Kementerian-kementerian; Kategori 3 : Institusi Pengajian Tinggi / Maktab / Sekolah Arab / Sekolah Menengah / Swasta; Kategori 4 : Kampung dan Masjid; dan Kategori 5 : Persatuan dan Sektor Swasta.

Borang penyertaan bagi DBM kini dibukakan dan boleh diperoleh daripada Urus Setia Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1448H, Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Tingkat 2, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis, BB3910, Negara Brunei Darussalam.

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikembalikan kepada urus setia berkenaan atau melalui faks +673 2382351 atau e-mel syiar.islam@mora.gov.bn.

Sementara borang penyertaan bagi Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong bolehlah diperoleh di Pejabat Hal Ehwal Ugama daerah masing-masing dan dikembalikan ke pejabat yang sama.

Borang penyertaan juga boleh diperoleh melalui laman sesawang Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) di www.mora.gov.bn.

Tarikh tutup pendaftaran dan mengembalikan borang penyertaan ialah pada Sabtu, 15 Ogos 2026, jam 4.00 petang.

Bagi DBM, sebarang pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi talian +673 2382301 sambungan 234 atau 237. Sementara bagi Daerah Belait, bolehlah berhubung dengan Awang Mohd. Noorsuffian bin Haji Yahya, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait melalui talian +673 8874466.

Manakala bagi Daerah Tutong, bolehlah berhubung dengan Dayang Noraini binti Haji Saniah, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong melalui talian +673 8243010; sementara bagi Daerah Temburong, bolehlah berhubung dengan Awang Haji Hazimin bin Haji Metali, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong melalui talian +673 8851981.