Dalami pengetahuan mengenai media sosial

15 Jul 2026 - 9:04am

Berita dan Foto : Ihsan Pertubuhan WARGAMAS

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Lebih 25 ahli Pertubuhan WARGAMAS meningkatkan dan mendalami pengetahuan menerusi bengkel Literasi Maklumat Media Sosial (Instagram) yang diadakan di Ibu Pejabat WARGAMAS.

Pegawai Pustakawan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dayang Nurul Wasilah binti Haji Bakar berkata, Instagram merupakan salah satu medium untuk menyebarkan maklumat di samping menjadi platform bagi merapatkan jurang komunikasi.

“Di samping memperoleh banyak manfaat, pengguna Instagram juga perlu lebih berhati-hati kerana platform ini turut mempunyai keburukan, terutama menjadi sasaran taktik penipuan seperti pencurian identiti, di samping terdedah kepada penyebaran berita palsu,” jelasnya.

Sepanjang bengkel tersebut, para peserta berpeluang menerima penerangan yang jelas mengenai penggunaan Instagram serta mengikuti sesi praktikal berkaitan pengendalian platform berkenaan.

Bengkel sempena Hari Buku Sedunia yang dikendalikan oleh Bahagian Perpustakaan UNISSA itu turut dihadiri oleh Penasihat Pertubuhan WARGAMAS, Awang Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd. Yassin; Timbalan Yang Dipertua II, Pengiran Haji Chuchu Pengiran Wahab serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi (JKTT) WARGAMAS.

Ketua Perpustakaan UNISSA, Dayang Nurhasinah binti Haji Moksin berharap bengkel Literasi Maklumat Media Sosial (Instagram) tersebut akan dapat membantu ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS memahami fungsi asas butang-butang yang terdapat dalam Instagram di samping mengembangkan lagi perkongsian aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Pertubuhan WARGAMAS.