Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan Ke-80 di Daerah Temburong

15 Jul 2026 - 10:07am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

TEMBURONG, Selasa, 14 Julai. - Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 telah diadakan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid. 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib dan seterusnya Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Awang Norezam bin Haji Zaini.

Seterusnya, bacaan Yaa Siin dan Tahlil dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini.

Doa Kesyukuran pula dibacakan oleh Pemangku Pegawai Ugama Daerah Temburong, Awang Haji Hazimin bin Haji Metali.

Dengan majlis itu, marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta  kerabat  diraja  akan  sentiasa  dalam  perlindungan-Nya, dilanjutkan usia, sihat walafiat dan baginda kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam.