Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Keputeraan Kebawah DYMM

15 Jul 2026 - 10:04am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohammad Hasif Matzin

BELAIT, Selasa, 14 Julai. – Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 diadakan di kesemua masjid, surau dan balai ibadah di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Belait, tumpuan majlis diadakan pada lewat petang tadi di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait yang dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku tetamu khas majlis.

Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam masjid berkenaan, Awang Haji Noor Azhar bin Haji Harith, yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah.

Seterusnya, bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Muhammad Jamalul Alam, Awang Afiq Haririe bin Haji Muhammad Daud.

Manakala, bacaan Doa Kesyukuran diketuai oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

Bacaan Doa Kesyukuran berkenaan adalah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah kurnia-Nya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Majlis turut merafakkan doa agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dalam memimpin negara serta kesejahteraan yang berterusan di samping memohon agar Negara Brunei Darussalam terus menikmati keamanan, kemakmuran dan keberkatan.

Majlis seterusnya diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Juga hadir, para pegawai kanan kerajaan, ketua-ketua jabatan, penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemimpin masyarakat, pengetua dan guru besar sekolah, ahli jawatankuasa takmir masjid, wakil sektor swasta serta orang perseorangan dan para jemaah sekitarnya.

Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan tradisi NBD sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui pengisian yang berunsurkan keagamaan.

Selain itu, ia juga melambangkan kesetiaan dan rasa syukur setiap rakyat dan penduduk negara ini terhadap kepimpinan baginda, di samping memohon keberkatan Allah Subhanahu Wata'ala agar negara terus dikurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.