Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Selasa, 14 Julai. - Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026 telah diadakan serentak hari ini di masjid-masjid seluruh negara termasuklah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu khas di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib yang diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat.
Sementara itu, bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil pula dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.
Manakala bacaan Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pemangku Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Hamdani bin Haji Osman.
Majlis pada malam tadi diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Mohammad Waiz.
Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta kerabat diraja akan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dilanjutkan usia, sihat walafiat dan bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan dan memimpin Negara Brunei Darussalam.