Drama 'Hentikan Buli : Bisai-bisai Pakai AI' warnai PBB 2026

21 Jul 2026 - 8:04am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman

BERAKAS, Isnin, 20 Julai. - Persembahan drama bertajuk 'Hentikan Buli : Bisai-bisai Pakai AI' telah dipentaskan bersempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2026 oleh murid-murid Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang isu buli siber dan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) secara beretika.

Persembahan drama yang berlangsung di Pentas Utama, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan menampilkan enam murid Tahun 4 Mercury, iaitu Awang Muhd. Aufa Sufyan bin Mas Mohammad Sufi, Awang Muhd. Arfan Ziyad bin Mohammad Faisal, Awang Muhd. Uzayr Ar-Razi bin Julazni, Awang Muhammad Adam Azfar bin Amalul Arif, Dayang Nur Qaisara Aisyaa binti Abdul Azeem dan Dayang Nur Hana An-Naurah binti Mohammad Akif.

Persembahan berkenaan dibimbing oleh dua guru pengawas, iaitu Dayang Hajah Zatil Hidayah binti Haji Morni dan Dayang Nur Mahfuzah binti Hamzah.

Drama berkenaan mengisahkan Aiman, iaitu seorang murid yang pendiam dan rajin telah menjadi mangsa buli di sekolah apabila dua rakannya, iaitu Farid dan Hakim menyalahgunakan teknologi AI untuk mengubah wajah dan suara Aiman menjadi bahan jenaka.

Perbuatan yang dianggap gurauan berkenaan menyebabkan Aiman berasa malu, sedih dan hampir hilang keyakinan diri untuk hadir ke sekolah.

Nasib Aiman berubah apabila Sara, iaitu seorang murid berani dan prihatin, menyedari kesedihan Aiman dan menggalakkannya untuk bersuara serta mendapatkan bantuan guru. Dengan bimbingan Cikgu Ezzah dan penegasan moral daripada Pengetua Rahman, para pelajar yang terlibat mula menyedari kesan buruk perbuatan mereka.

Melalui persembahan drama berkenaan, ia menekankan bahawa teknologi AI merupakan satu inovasi yang mampu memberikan pelbagai manfaat sekiranya digunakan secara bertanggungjawab.

Sebaliknya, penyalahgunaan teknologi berkenaan boleh membawa kepada buli siber dan memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan emosi mangsa.

Selain itu, drama berkenaan menekankan nilai empati, keberanian untuk bersuara, tanggungjawab digital dan pentingnya menghormati maruah orang lain.