Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Azmah Haji Ahad
MANILA, REPUBLIK FILIPINA, Selasa, 17 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ke-21.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Pada Sidang Kemuncak berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan strategik yang semakin menjejaskan kestabilan serantau, dengan mengambil kira risiko berterusan berlakunya insiden dan salah percaturan di Laut China Selatan, di samping konflik global yang mengganggu perdagangan serta bekalan tenaga.
Dalam hubungan ini, baginda bertitah menekankan kepentingan EAS sebagai forum yang diterajui ASEAN dalam menghimpunkan kuasa - kuasa besar dan negara - negara kecil bagi menguruskan perbezaan secara bertanggungjawab, di samping mengekalkan kerjasama dalam bidang-bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Menggariskan bahawa ASEAN Centrality membantu memelihara seni bina serantau yang inklusif dan memastikan dialog kekal terbuka meskipun berdepan dengan persaingan strategik, Kebawah DYMM seterusnya bertitah bahawa dialog terbuka bukan sahaja memerlukan pertukaran pendirian antara negara, malah juga pengiktirafan terhadap kesan yang lebih luas daripada keputusan yang dibuat oleh sesebuah negara serta tanggungjawab bersama dalam memelihara kestabilan.
Baginda selanjutnya bertitah menekankan bahawa apabila timbulnya ketegangan, rundingan, kawalan, dan penyelesaian secara aman yang berpandukan penghormatan sepenuhnya terhadap undang - undang antarabangsa yang diterapkan secara konsisten dan tanpa diskriminasi adalah penting, khususnya bagi memelihara kedaulatan dan keselamatan negara-negara kecil.
Mengahkiri titah, baginda juga menekankan bahawa perbezaan strategik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha bersama dalam menangani cabaran cabaran yang dihadapi.
Dalam hubungan ini, Kebawah DYMM bertitah mengetengahkan isu penipuan berasaskan teknologi siber dan penipuan dalam talian sebagai antara bidang yang memerlukan kerjasama secara praktikal. Jenayah-jenayah berkenaan bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan dan menjejaskan keyakinan terhadap ekonomi digital, malah turut mengeksploitasi golongan yang mudah terdedah, termasuk mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan kegiatan jenayah.
Sehubungan itu, baginda bertitah mencadangkan agar pengaturan kerjasama sedia ada dimanfaatkan bagi memperkukuh perkongsian maklumat dan usaha bersepadu antara pihak-pihak berkuasa yang berkaitan dalam mengesan aliran kewangan bagi membantu mengenal pasti pihak yang mengendalikan dan membiayai operasi jenayah, membanteras rangkaian jenayah serta meningkatkan perlindungan terhadap mangsa dan masyarakat.
Sementara itu, Kebawah DYMM serta para Pemimpin ASEAN yang lain telah menghadiri Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN Kali Ke-49 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, serta penyerahan Pengerusi ASEAN kepada Republik Singapura.
Majlis dimulakan dengan lagu rasmi ASEAN, 'The ASEAN Way', diikuti dengan ucapan daripada Presiden Republik Filipina selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.
Presiden Republik Filipina menyerahkan 'Gavel Pengerusi ASEAN' kepada Perdana Menteri Republik Singapura, yang kemudiannya diikuti dengan ucapan oleh Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong.
Majlis turut menampilkan tayangan video 'Singapore ASEAN Chairmanship in 2027' serta diserikan dengan beberapa persembahan pentas.