Forum bincang kepentingan penghayatan falsafah MIB

29 Nov 2026 - 12:34am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Temburong

TEMBURONG, Sabtu, 28 November. - Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 bagi Daerah Temburong, yang merupakan salah satu pengisian Majlis Ilmu sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun telah diadakan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Daerah Temburong, hari ini.

Forum yang bertajuk ‘MIB : Bukan Sekadar Slogan, Ini Cara Hidup Kitani’ membincangkan kepentingan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai panduan dan amalan dalam kehidupan seharian, serta peranannya dalam memperkukuh identiti, perpaduan dan jati diri masyarakat Negara Brunei Darussalam (NBD).

Forum berkenaan merupakan sebahagian daripada Forum Daerah-Daerah sempena Majlis Ilmu 2026 yang diadakan di keempat-empat daerah, selaras dengan tema sambutan tahun ini, ‘Melayu Islam Beraja : Tonggak Kedaulatan Negara’, yang menekankan kepentingan falsafah MIB sebagai asas dalam memelihara kedaulatan dan identiti negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Muhammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Majlis Ilmu 2026, dan Timbalan Mufti Kerajaan, Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin.

Juga hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para jemputan khas.

Forum berkenaan telah dihadiri oleh lebih daripada 400 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung, wakil-wakil sektor swasta, ahli akademik, penuntut institusi pengajian tinggi, golongan belia, ahli-ahli persatuan serta masyarakat setempat.

Forum tersebut menampilkan tiga orang ahli panel iaitu Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB), Dr. Dayang Siti Salwana Syarfa’ binti Haji Dahlan; Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Kecemerlangan Universiti, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Mohd. Khairul Azhar bin Haji Idris; dan Pensyarah, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Dayang Mariam binti Haji Abdul Rahman serta dikendalikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Nurhuwaina binti Haji Mamud, selaku moderator.

Sesi forum turut disusuli dengan sesi soal jawab yang memberikan peluang kepada para hadirin untuk mengemukakan pertanyaan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada ahli-ahli panel mengenai penghayatan dan pengamalan falsafah MIB dalam kehidupan seharian.

Penganjuran forum ini diharap akan terus menjadi wadah dalam memperkukuh kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap falsafah MIB, di samping menyemarakkan budaya ilmu serta memupuk kesedaran bersama mengenai tanggungjawab memelihara identiti, perpaduan dan kedaulatan NBD.