Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 28 November. - Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengadakan Sambutan Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia atau World Day of Remembrance for Road Traffic Victims (WDoR) bagi Tahun 2026 bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Jabatan Penerangan, Jalan Lapangan Terbang Lama, di sini.
Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia disambut pada hari Ahad minggu ketiga bulan November setiap tahun. Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘A Light That Unites Us’, yang menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk memperingati mangsa kemalangan jalan raya, memberikan sokongan kepada keluarga yang terjejas serta mengambil tindakan bersama dalam meningkatkan keselamatan jalan raya.
Tema ini juga bertujuan menjadi pendorong kuat agar setiap pengguna jalan raya membuat pilihan yang lebih bertanggungjawab dan berhemah demi melindungi nyawa orang lain.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos selaku Pengerusi MKKJR.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat menegaskan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan bersepadu dan berterusan daripada semua pihak.
Menurut Yang Berhormat, siasatan mendapati bahawa faktor kecuaian masih menjadi antara punca utama kemalangan jalan raya. Ini termasuk pemanduan melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, mengekori kenderaan terlalu dekat, memandu dalam keadaan letih atau di bawah pengaruh bahan terlarang serta tidak menggunakan tali pinggang keledar dan kerusi keselamatan kanak-kanak. Faktor kesihatan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan yang kurang sempurna juga perlu diberikan perhatian.
Sehubungan itu, Yang Berhormat menegaskan bahawa usaha meningkatkan keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara lebih berfokus dan berkesan, dengan mengambil pendekatan ‘Fewer Initiatives, Bigger Impact’ melalui penelitian semula terhadap perundangan, dasar, pelan dan inisiatif sedia ada bagi memastikan setiap tindakan memberikan impak yang nyata.
MKKJR berperanan sebagai badan penyelaras utama di peringkat kebangsaan dalam menyatukan usaha dan tindakan pelbagai pihak, termasuk agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat, bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam.
Peranan ini dilaksanakan melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation yang menekankan kerjasama serta penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat dalam membudayakan keselamatan jalan raya.
Di bawah Road Safety Action 2030, MKKJR telah menetapkan lima sasaran utama negara menjelang tahun 2030, iaitu mengurangkan kekerapan kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus; mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus; memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus jalan raya utama mencapai penarafan keselamatan minimum tiga bintang berdasarkan penilaian Second Brunei Road Assessment Programme (BruRAP2); meningkatkan pematuhan terhadap had laju selamat bagi mengelakkan kematian dan kecederaan parah; serta mencapai sifar kemalangan besar yang melibatkan tiga atau lebih kematian, khususnya yang melibatkan pengangkutan awam dan barangan berbahaya.
Sementara itu, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop selaku Setiausaha MKKJR dalam ucapan alu-aluannya berkata, MKKJR bersama agensi-agensi ahlinya telah melaksanakan pelbagai inisiatif bersepadu yang merangkumi aspek kerohanian, pendidikan, penguatkuasaan, dan penambahbaikan keselamatan jalan raya.
Antara inisiatif berkenaan termasuk pendekatan Kerohanian dan Kesedaran Awam melalui Masjid dengan mengingatkan tentang amanah memelihara nyawa, sifat bersabar, dan tanggungjawab bersama di jalan raya melalui penyampaian Khutbah Jumaat pada 13 November 2026 dan Majlis Munajat Khas pada 14 November 2026. Ia adalah bagi mendoakan kesejahteraan negara, memohon perlindungan daripada musibah kemalangan jalan raya.
Selain itu, inisiatif turut melaksanakan Program Jangkauan (Outreach) di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) di mana pihak MKKJR telah mengadakan sesi Jerayawara Keselamatan Jalan Raya (Road Safety Outreach) ke institusi berkenaan di seluruh negara. Program ini bertujuan menyemai budaya pemanduan berhemah, pematuhan undang-undang lalu lintas, serta kesedaran terhadap bahaya pemanduan laju dan gangguan telefon bimbit dalam kalangan penuntut dan warga kampus.
Inisiatif turut melibatkan Pelajar Sekolah dan Pertandingan Sketsa Keselamatan Jalan Raya yang telah dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan MKKJR. Inisiatif berkenaan turut melaksanakan Penyelarasan Keselamatan Pengguna Jalan Raya Berisiko Tinggi dan Kempen Bermusim.
Sepanjang tahun 2026, MKKJR terus memantau pelaksanaan inisiatif keselamatan penunggang basikal dan motosikal melalui penetapan laluan berbasikal selamat di keempat-empat daerah, kempen kesedaran penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tali pinggang keledar, serta operasi penguatkuasaan bersepadu bersama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Pengangkutan Darat.
Dalam hal ini, MKKJR ingin mengambil peluang untuk mengingati kesemua pengguna jalan raya untuk lebih peka, lebih bertanggungjawab, dan lebih prihatin terhadap keselamatan di jalan raya.
MKKJR akan terus meneliti keberkesanan inisiatif keselamatan jalan raya yang dilaksanakan oleh agensi-agensi ahli dan rakan strategik bagi memastikan tindakan yang diambil selaras dengan keutamaan negara dan memberikan impak yang boleh diukur.
Sempena sambutan WDoR 2026, MKKJR menyeru seluruh masyarakat untuk menghayati semangat "Remember, Support, Act", bukan sahaja memperingati mereka yang telah terkorban, tetapi juga mengambil tindakan nyata melalui sikap pemanduan yang berhemah, pematuhan undang-undang dan keprihatinan terhadap keselamatan bersama.
Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan daripada juara-juara Pertandingan Sketsa Peringkat Rendah dan Menengah bagi Tahun 2026.
Juara Pertandingan Sketsa Keselamatan Jalan Raya bagi Peringkat Sekolah Rendah ialah dari Sekolah Sunshine, manakala juara bagi Peringkat Sekolah Menengah ialah dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ahli-ahli MKKJR, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, para perwakilan daripada pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, para pendidik, penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi dan sekolah.