Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Julai. - Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Dilantik iaitu Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof, dan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin telah menyertai Mesyuarat AIPA Caucus kali Ke-17 secara dalam talian pada 22 Julai 2026.
Mesyuarat yang bertemakan ‘The Role of Parliament in Strengthening ASEAN Centrality in Navigating Complex Global Challenges’ telah dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (House of Representatives of the Republic of Indonesia).
Antara lain yang dibincangkan termasuk status implementasi resolusi-resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA Ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia; peranan AIPA dalam menggalakkan tadbir urus keamanan yang inklusif melalui perbincangan ‘AIPA Key Role in Promoting Inclusive Peace Governance’ serta sumbangan AIPA dalam menangani perubahan iklim menerusi tema ‘ASEAN and Climate Change: AIPA Contributions to Protect the Future of the People’; serta perbincangan dan pertimbangan Laporan Mesyuarat AIPA Caucus Ke-17.
Semasa mesyuarat tersebut, perwakilan MMN telah mengongsikan laporan negara mengenai status implementasi bagi resolusi-resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA kali Ke-46 dengan mengongsikan undang-undang dan inisiatif negara yang berkaitan.
Perwakilan MMN turut menyampaikan intervensi semasa sesi perbincangan bagi menyatakan sokongan terhadap usaha AIPA dalam merealisasikan ASEAN Community Vision 2045.
Selain itu, perwakilan Negara Brunei Darussalam turut mengongsikan komitmen negara dalam memperkukuh usaha kolektif ASEAN untuk menangani perubahan iklim, antaranya melalui peranannya sebagai tuan rumah kepada Pusat ASEAN bagi Perubahan Iklim (ASEAN Centre for Climate Change).
Pada akhir mesyuarat, Ketua-Ketua Perwakilan telah menandatangani laporan bagi Mesyuarat AIPA Caucus kali Ke-17 yang kemudiannya diikuti dengan Ucapan Penerimaan daripada Republik Demokratik Rakyat Lao sebagai negara hos bagi Mesyuarat AIPA Caucus kali Ke-18 pada tahun 2027.