Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas
MUARA, Sabtu, 10 Oktober. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat bercemar duli bersama Perdana Menteri Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong menyaksikan Galeri Jubli Emas Pertahanan Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Republik Singapura sempena Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), hari ini.
Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke galeri berkenaan ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
Galeri Jubli Emas Pertahanan NBD dan Republik Singapura ini mengetengahkan sejarah dan perkembangan hubungan pertahanan yang erat dan bersejarah antara kedua-dua negara sepanjang lima dekad, sejak terjalinnya hubungan pertahanan rasmi pada 9 Oktober 1976.
Asas hubungan kedua-dua negara telah diperkukuhkan melalui persahabatan erat antara Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dengan pemimpin-pemimpin pengasas Republik Singapura khususnya Presiden Yusof Ishak dan Perdana Menteri Lee Kuan Yew.
Hubungan tersebut terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam apabila baginda memperkenankan penyediaan kawasan latihan hutan bagi Angkatan Bersenjata Republik Singapura (SAF) pada tahun 1976, sekali gus menjadi antara asas penting kepada perkembangan hubungan pertahanan rasmi kedua-dua negara.
Antara yang diketengahkan dalam galeri ini ialah keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke Republik Singapura, khususnya dalam konteks memperkukuhkan hubungan dan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Galeri ini turut memaparkan perkembangan kerjasama ketenteraan antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan SAF, merangkumi pelaksanaan pelbagai program latihan dan kursus ketenteraan yang diadakan di NBD mahupun di Republik Singapura.
Selain itu, galeri berkenaan turut mengetengahkan pelaksanaan pelbagai eksesais dua hala antara ABDB dan SAF iaitu, tentera darat, tentera laut dan tentera udara. Pelaksanaan eksesais dan latihan bersama ini mencerminkan komitmen berterusan dalam meningkatkan keupayaan operasi dan profesionalisme antara kedua-dua angkatan tentera.
Secara keseluruhannya, galeri ini mencerminkan hubungan pertahanan yang erat, kukuh dan berterusan antara NBD dan Republik Singapura, berlandaskan semangat persahabatan, kepercayaan bersama dan komitmen dalam memperkukuh kerjasama pertahanan.
Semasa menyaksikan galeri tersebut, Kebawah DYMM dan Tuan Yang Terutama Perdana Menteri Republik Singapura turut disembahkan penerangan ringkas oleh Mejar (U) Pengiran Md. Hassanal Arif bin Pengiran Ali Sham, Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB); Leftenan Komander Ahmad Nafees bin Haji Kamsani, TLDB; Mejar Marvin bin Nirus; Leftenan Dya Ahmad Nazif bin Dato Seri Pahlawan Haji Yussof, TLDB; Leftenan Kolonel Dr. Fetty Ruziyana binti Haji Aliuddin; Leftenal Kolonel Mohammad Faizal dan Mejar Mahmud Afifi bin Mohd. Kifli, mengenai galeri yang diketengahkan.