NBD, Republik Singapura terus memelihara kepercayaan, kerjasama pertahanan

11 Okt 2026 - 5:48am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad

MUARA, Sabtu, 10 Oktober. - Hubungan baik antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dengan Republik Singapura telah terjalin sejak zaman pemerintahan paduka ayahanda beta, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Ketua Negara Singapura ketika itu, Allahyarham Presiden Yusof Ishak, serta mendiang Perdana Menteri Pengasas, Lee Kuan Yew, pada tahun 1960, ketika mana kedua-dua negara berhadapan dengan cabaran geopolitik yang membentuk haluan masing -masing menuju kemerdekaan.

Daripada pengalaman yang dilalui ini, hubungan kedua negara menjadi semakin erat dan istimewa dan kekal sehingga ke hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah pada Majlis Kemuncak sempena Sambutan Jubli Emas Hubungan Pertahanan NBD dan Republik Singapura yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), hari ini.

Terdahulu dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah merafak rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, dapatlah sama-sama pada pagi ini dalam Ucapara Perbarisan Bersama bagi meraikan Jubli Emas Hubungan Pertahanan antara NBD dan Republik Singapura dalam suasana aman dan tenteram.

"Pada pagi yang penuh bermakna ini, beta dengan sukacita mengalu-alukan Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura, serta rombongan ke NBD.

"Kehadiran Tuan Yang Terutama bersama-sama kita pada hari ini amatlah dihargai dan menambah makna kepada sambutan bersejarah ini. Ia mencerminkan bukan sahaja istimewa dan eratnya hubungan pertahanan antara kedua-dua negara, tetapi juga persahabatan akrab dan kepercayaan yang telah terbina antara Brunei Darussalam dan Singapura sejak sekian lama," titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah pada bulan Julai 1975, NBD buat julung kalinya telah menghantar dua orang Pegawai Kadet untuk menjalani latihan di Institut Latihan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFTI).

Pada 9 Oktober 1976, (tepat 50 tahun) titah baginda lagi, hubungan pertahanan kedua-dua negara mencapai satu mercu tanda penting apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia memperkenankan penggunaan Kawasan Latihan di Daerah Temburong untuk Angkatan Bersenjata Republik Singapura (SAF).

"Sejak itu, Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Profesional serta latihan dua hala antara angkatan bersenjata kedua-dua negara terus berkembang, meningkatkan kompentensi, profesionalisme dan kerjasama di semua peringkat.

"Apabila NBD mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984, hubungan yang 'Diperkukuh Atas Dasar Kepercayaan' atau 'Forged in Trust' ini diperkasakan lagi dengan terjalinnya hubungan diplomatik rasmi antara kedua negara," titah Kebawah DYMM.

Sepanjang lima dekad yang telah dilalui, Kebawah DYMM bertitah telah menyaksikan bagaimana generasi demi generasi kepimpinan kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam memupuk dan memperkukuh hubungan istimewa ini.

Titah baginda lagi, kerjasama pertahanan selama setengah abad itu telah membuktikan apa yang mampu dicapai oleh kedua-dua negara kecil ini dalam membina hubungan berlandaskan kepercayaan, saling menghormati dan komitmen bersama.

Dalam mengorak langkah selepas Jubli Emas ini titah baginda, memerlukan generasi masa depan yang berwibawa untuk terus memperdalam kepercayaan, memperkukuh kerjasama profesional dan meningkatkan keupayaan untuk bertindak bersama, khususnya dalam menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.

"Dengan demikian, hubungan pertahanan ini bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan dan daya tahan kedua-dua negara, malahan juga keamanan dan kestabilan serantau dan sejagat," titah baginda.

Pada detik bersejarah Sambutan Jubli Emas Hubungan ini, Kebawah DYMM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada generasi kepimpinan terdahulu kedua-dua negara, kerana melalui wawasan, kegigihan dan sumbangan merekalah, telah wujud hubungan pertahanan yang bermakna dan bermanfaat hingga ke hari ini.

Kebawah DYMM juga bertitah ingin merakamkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura; Tuan Yang Terutama Chan Chun Sing, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam dan Menteri Pertahanan Republik Singapura serta semua yang hadir pada hari ini.

Titah baginda, kehadiran dan komitmen yang ditunjukkan pada Sambutan Jubli Emas ini mencerminkan tekad bersama untuk terus memelihara persahabatan, kepercayaan dan kerjasama pertahanan yang telah dibina sepanjang lima dekad yang lalu.

Akhirnya, Kebawah DYMM merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan SAF sempena Sambutan Jubli Emas ini, serta penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara - acara sambutan sempena memperingati detik bersejarah ini.

"Beta berdoa dan menaruh harapan semoga persahabatan yang telah terjalin kukuh sepanjang 50 tahun yang lalu terus dihayati dan diperkasa oleh generasi kini dan akan datang, dan insyaaAllah ABDB dan SAF terus bersatu dan komited ke arah keamanan, keselamatan dan kestabilan rantau khususnya dan dunia umumnya," titah baginda lagi.