Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan harapan untuk melihat generasi muda berperanan lebih bermakna, bukan sekadar jadi penonton kepada perubahan dan penggunaan teknologi ciptaan orang lain tetapi juga perlu bangkit sebagai pencipta, pemikir dan pemimpin berwawasan.
Dalam hubungan ini, kerajaan baginda akan terus berperanan memberikan dukungan kepada para belia yang ingin berkecimpung dan memperluaskan bidang keusahawanan merentasi semua sektor.
Antaranya, menerusi kemudahan pinjaman mikro yang disediakan oleh bank-bank tempatan khususnya Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Bank Usahawan.
“InsyaaAllah, beta akan terus memimpin negara ke arah pencapaian Wawasan Brunei 2035, yang menjanjikan sebuah negara yang maju, mampan dan berdaya tahan, dengan dukungan padu dari semua pihak,” demikian titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-biantang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, pagi tadi.
Terdahulu dalam titah, baginda melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala atas limpah rahmat-Nya yang mengizinkan Hari Keputeraan baginda pada tahun ini diraikan dalam suasana aman dan sejahtera.
Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, dalam dan luar negara, yang telah menghantar perutusan ucaр selamat kepada baginda dan kerabat diraja bersempena dengan perayaan ini.
Sesungguhnya titah baginda, usia 80 tahun adalah nikmat yang amat besar dan hanya Allah Subhanahu Wata’ala jua yang maha mengetahui akan hikmahnya. Titah baginda lagi, dalam hampir enam dekad memegang amanah, baginda bersama rakyat telah menempuh pelbagai liku kehidupan yang membentuk negara ini menjadi apa yang ada sekarang.
“Kita juga bersama-sama menyaksikan peredaran zaman, dari pembangunan asas kepada pemodenan. Hanya satu sahaja yang tidak berubah iaitu, kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan yang menjadi tulang belakang negara sejak dahulu lagi.
“Demikian, jika kita mahu menjadi bangsa yang kuat, ia bukan diukur dari kemewahan yang dinikmati tetapi dari keikhlasan bersatu padu menghadapi apa jua cabaran,” titah baginda.
Baginda turut bertitah menegaskan bahawa baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat. Begitu juga di Brunei, tidak ada tempat bagi gejala rasuah dan ketidakjujuran berlaku dalam masyarakat yang mengancam kesejahteraan dan kemajuan negara.