Komited mendukung keutamaan pembangunan negara, memajukan kewangan Islam

6 Okt 2026 - 7:20am

Oleh : Nooratini Haji Abas

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Oktober. - Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini melancarkan Program Sukuk Wakalah BIBD, menandakan perkembangan signifikan dalam landskap kewangan Islam Brunei Darussalam serta satu langkah besar dalam perjalanan pertumbuhan bank, di samping menyumbang kepada kemajuan berterusan sektor kewangan negara.

Penerbitan sulung ini merupakan Sukuk Wakalah korporat pertama di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang memperkenalkan peluang pelaburan patuh syariah baharu bagi para pelabur serta menandakan detik penting dalam landskap kewangan negara. 

Pelabur institusi boleh mengambil bahagian secara langsung dalam penerbitan peringkat pertama (pasaran primer), manakala pelabur runcit yang layak boleh mendapat akses melalui tawaran Sukuk Pecahan (Fractional Sukuk) oleh BIBD Securities, dengan pelaburan minimum sebanyak BND5,000.

Sehubungan itu, Program Sukuk Wakalah BIBD tersebut dilancarkan secara rasmi petang tadi bersama oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, selaku Pengerusi Bank Pusat Brunei Darussalam; dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi BIBD.

Pelancaran bersama ini mencerminkan komitmen padu pihak-pihak berkepentingan utama ke arah memperkukuh sektor kewangan NBD, memajukan kewangan Islam dan menyokong pembangunan berterusan pasaran modal negara. Ia juga menyerlahkan kepentingan sukuk ini sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja bagi BIBD, malah bagi landskap kewangan NBD secara lebih meluas.

Sebagai institusi kewangan Islam terkemuka di NBD, penyertaan BIBD dalam pasaran sukuk mencerminkan komitmen bank untuk memajukan kewangan Islam, menyokong inovasi kewangan dan memperkukuh sektor kewangan negara. 

Program Sukuk Wakalah BIBD merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh pasaran modal Islam di NBD. Lebih daripada sekadar peluang pelaburan, sukuk ini menyediakan saluran pembiayaan patuh syariah yang membolehkan organisasi mengumpul modal, mempelbagaikan sumber pembiayaan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Sebagai program Sukuk Wakalah korporat pertama di NBD, inisiatif ini mencerminkan komitmen BIBD untuk menyokong perkembangan sektor kewangan serta meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai sukuk dalam kalangan pelabur, komuniti perniagaan dan masyarakat umum. Sukuk juga berpotensi menyokong kepelbagaian ekonomi negara dengan menyediakan pembiayaan bagi pelbagai sektor dan aktiviti.

BIBD berharap penerbitan ini dapat membuka laluan kepada lebih banyak organisasi untuk mengakses pasaran sukuk, sekali gus menggalakkan pasaran modal yang lebih aktif dan pelbagai serta menggerakkan modal domestik kepada aktiviti ekonomi yang produktif.

Bagi pelabur, sukuk ini menawarkan peluang untuk menyertai fasa pertumbuhan dan transformasi BIBD, disokong oleh asas kewangan yang kukuh, kedudukan pasaran yang baik, pengurusan risiko berhemat, tadbir urus telus dan komitmen terhadap prinsip syariah.

BIBD turut menekankan ketelusan dan penglibatan pelabur melalui aktiviti kesedaran serta penyediaan maklumat yang jelas, bagi membantu pelabur membuat keputusan secara bertanggungjawab dan berasaskan pemahaman yang baik.

Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah, semasa mengulas mengenai pelancaran tersebut, berkata sukuk yang signifikan ini bukan sekadar satu pencapaian penting bagi BIBD. Ia juga katanya, merupakan langkah penting dalam pertumbuhan berterusan landskap kewangan Islam NBD. Ketika NBD meneruskan perjalanan ke arah kepelbagaian ekonomi dan pertumbuhan mampan, inisiatif sebegini membantu memperluaskan rangkaian penyelesaian pembiayaan dan pelaburan yang tersedia, di samping memperkukuh sektor kewangan secara menyeluruh.

Pasaran modal Islam yang lebih mendalam tambah beliau, dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada perniagaan untuk mengumpul dana, menarik pelaburan dan menyokong pertumbuhan masa hadapan.

“Kami berharap penerbitan ini akan menggalakkan penyertaan yang lebih besar daripada pihak penerbit mahupun pelabur, serta membantu membina momentum bagi pertumbuhan berterusan pasaran modal Islam Brunei Darussalam. Yang penting, keyakinan pelabur dibina melalui ketelusan.

“Kami kekal komited terhadap komunikasi terbuka, tadbir urus yang kukuh dan pendedahan maklumat yang tepat pada masanya, sambil memastikan pelabur mempunyai akses kepada maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan yang berasaskan fakta,” ujar beliau lagi.

Beliau menjelaskan, sebagai Rakan Kemajuan, BIBD kekal komited untuk menyokong keutamaan pembangunan negara, memajukan kewangan Islam dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk pelanggan, pihak berkepentingan serta komuniti yang kami khidmati.

 Program Sukuk Wakalah BIBD bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur dan pasaran modal NBD, malah menyerlahkan kepakaran serta keupayaan bakat tempatan dalam sektor kewangan. Kerjasama antara BIBD, BIBD Securities, pihak pengawal selia, penasihat dan peserta pasaran antarabangsa telah menyokong kejayaan penerbitan Sukuk Wakalah korporat pertama di NBD.

Pengalaman dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini akan membantu menyokong penerbitan sukuk pada masa hadapan serta memperkukuh ekosistem pasaran modal negara. BIBD turut menggalakkan bakal pelabur mengikuti perkembangan rasmi, menyertai sesi libat urus, meneliti dokumen tawaran dan mendapatkan penjelasan sebelum membuat keputusan pelaburan.

BIBD juga menghargai sokongan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), penasihat, rakan niaga dan pihak berkepentingan yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Sukuk Wakalah ini.

Pelancaran ini juga mencerminkan dedikasi pasukan di seluruh BIBD dan BIBD Securities; usaha kolektif, komitmen dan profesionalisme mereka telah membantu merealisasikan penerbitan Sukuk Wakalah korporat yang pertama di NBD, bermula daripada peringkat konsep sehinggalah ke pasaran.

Program Sukuk Wakalah BIBD mencerminkan kepentingan kerjasama dalam memajukan pembangunan pasaran modal. Interaksi berterusan antara penerbit, pelabur, pengawal selia dan peserta pasaran lain adalah penting bagi mewujudkan ekosistem pasaran yang lebih mendalam dan dinamik.

Dengan meluaskan akses kepada peluang pembiayaan dan pelaburan yang mematuhi syariah, inisiatif ini bertujuan untuk menyokong penyertaan pasaran yang lebih meluas, mengukuhkan keyakinan pelabur serta menyumbang kepada pertumbuhan berterusan pasaran modal Islam NBD.