GoMamam 3.0 tingkatkan pengalaman pengguna

24 Okt 2026 - 6:38am

Siaran Akhbar dan Foto : GoMamam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Oktober. - GoMamam, sebuah platform penghantaran makanan tempatan di Negara Brunei Darussalam (NBD), secara rasmi melancarkan GoMamam 3.0 yang menampilkan paparan muka baharu serta ciri-ciri yang dipertingkatkan bagi memberikan pengalaman tempahan yang lebih mudah, lancar dan mesra pengguna.

Versi terbaharu aplikasi berkenaan menawarkan pengalaman carian yang lebih baik, paparan muka yang diperbaharui, penjejakan pesanan secara masa nyata serta tab promosi khusus yang membolehkan pengguna mendapatkan maklumat mengenai baucar dan tawaran istimewa di satu tempat.

Kemas kini tersebut bertujuan memudahkan pelanggan mencari keperluan mereka, mengetahui promosi yang tersedia serta memantau status pesanan, bermula daripada proses tempahan hingga penghantaran.

Selain aplikasi pelanggan, GoMamam terus menambah baik pengalaman digital menerusi aplikasi Dispatcher dan Business yang menyokong proses penghantaran serta pengurusan operasi harian perniagaan.

Gabungan aplikasi berkenaan memainkan peranan penting dalam menghubungkan pelanggan, peniaga dan penghantar bagi memastikan pesanan dapat disampaikan dari pihak perniagaan kepada pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GoMamam, Awang Hadi Wahab, pelancaran GoMamam 3.0 merupakan satu lagi langkah dalam usaha berterusan syarikat untuk mempertingkatkan platform berkenaan.

“Walaupun pelanggan kini dapat menikmati pengalaman aplikasi yang diperbaharui, kami juga mengiktiraf peranan penting peniaga dan penghantar dalam memastikan kelancaran operasi setiap hari.

“Fokus kami adalah untuk menambah baik pengalaman di seluruh platform, bukan sahaja bagi mereka yang membuat pesanan melalui GoMamam, malah juga bagi perniagaan dan rakan penghantaran yang menjayakan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa setiap penambahbaikan aplikasi memerlukan masa, kerjasama berpasukan dan usaha berterusan bagi memastikan platform berkenaan lebih mudah digunakan serta memenuhi keperluan penggunanya yang semakin berkembang.

Sejak dilancarkan pada tahun 2020, GoMamam telah berkembang melangkaui perkhidmatan penghantaran makanan dengan menghubungkan pelanggan kepada lebih banyak perniagaan tempatan serta pelbagai barangan keperluan harian.

Rangkaian peniaga dan penghantar yang semakin berkembang terus menjadi antara elemen penting dalam perkembangan platform tersebut, sekali gus membantu perniagaan tempatan menjangkau pelanggan dan memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai barangan serta perkhidmatan harian.

Pelancaran GoMamam 3.0 menandakan satu lagi perkembangan dalam usaha syarikat untuk meningkatkan pengalaman pengguna, di samping memperkukuh platform digital yang menghubungkan pelanggan, peniaga dan rakan penghantaran.

GoMamam 3.0 mula tersedia bermula 24 Oktober 2026. Pengguna boleh mengemas kini aplikasi GoMamam melalui Apple App Store atau Google Play Store untuk menikmati ciri-ciri dan penambahbaikan terbaharu.